15 November 2013

Cara Hias Bilik Sempit

Tips Hias Bilik Sempit

Tentukan konsep sebelum hias bilik tidur, elak serabut untuk tidur lena

Menghias kediaman bukan bererti hanya ruang tamu menjadi keutamaan. Ruang peribadi seperti bilik tidur juga perlu diberikan perhatian lebih-lebih lagi sepertiga daripada hidup seseorang itu dihabiskan di kamar peraduan.

Selain menjadi tempat tidur, bilik tidur juga adalah ruang rehat peribadi. Malah, bilik tidur adalah tempat paling selamat dan ruang rahsia seseorang. Malah, ada yang menyatakan untuk mengenal karektor seseorang lihat saja dekorasi bilik tidurnya.
Justeru, menghias bilik tidur perlu dimasukkan dalam jadual menghias kediaman dan apabila bercakap mengenai dekorasi bilik ini, ada beberapa persoalan perlu diambil kira.

Perunding pereka dalaman, Alam Anuar menyatakan aspek utama yang perlu diberikan perhatian sebelum menghias bilik tidur adalah menentukan tema atau konsep yang mahu dibentuk.

“Selepas tema atau konsep dibuat maka mudah kerja menentukan perabot, aksesori dan kemasan yang bakal dilaksanakan,” katanya.

Menjelas lanjut, katanya selepas itu, ruang dan saiz bilik perlu diambil kira supaya bilik tidur dapat dihias dengan praktikal. Aspek praktikal perlu di ambil kira supaya fungsinya sebagai ruang tidur dan rehat tidak disalah tafsir melalui cara menghias. 
“Tidak dinafikan ada yang percaya pada feng shui dan pantang larang tradisi mengenai susun atur perabot dan menghias bilik. Namun, saya percaya kepada kuasa praktikal kerana ia lebih berfungsi untuk bilik yang dihias,” katanya.

Menghias bilik tidur juga perlu mengambil kira warna atau cat. Sebaiknya, ia perlu mengikut tema dan karektor pemilik bilik bukannya berdasarkan aliran semasa.

“Jika mengikut tema Inggeris klasik, warna-warna pastel dengan rona putih dan krim menjadi keutamaan. Namun, ia bergantung kepada karektor seseorang sama ada profesional, masih belajar atau golongan lebih berusia,” katanya.

Mengenai warna, menurutnya tidak salah menggunakan warna garang seperti merah, kuning atau jingga, namun lihat kepada tona. Merah biasanya dikaitkan dengan keghairahan dan romantik manakala hijau dikaitkan dengan ketenangan.

Untuk bilik tidur gaya oriental mahupun nusantara, warna-warna lembut banyak digunakan. Manakala aksesori dan perabotnya berwarna gelap dan sedikit pudar. Biasanya perabot kayu gabungan yang baik untuk tema oriental, nusantara atau Aseania ini.

Semuanya bergantung kepada selera dan jangan terikat sangat kepada ‘trend’ semasa.

“Tidak salah mengikut ‘trend, namun ia sentiasa berubah. Jika soal wang bukan alasan tidak salah mengikut aliran semasa. Jika mahu berjimat, lebih baik mengikut selera sendiri dan kemampuan diri,” katanya.

Dalam menentukan warna, selain karektor, jantina pemilik bilik juga perlu diambil kira begitu juga ruang sama ada bilik itu sempit, luas atau sederhana.

Perlu diingat untuk warna bilik tidur ‘si teruna’ tidak semestinya hanya biru yang sesuai begitu juga merah jambu untuk ‘si dara’. Gunakan kreativiti dan jangan terikat saja kepada aspek maskulin atau feminin dalam menentukan warna bilik tidur, aspek keseimbangan dan selera pemilik bilik juga perlu diambil kira.

Selepas warna ditentukan, susun atur bilik perlulah diberikan perhatian. Jika bilik sempit elakkan gunakan perabot yang terlalu banyak memadai menggunakan perabot asas iaitu katil, almari pakaian dan meja solek.

Jika ruang lebih luas, tidak bermakna semua perabot perlu dibawa masuk kerana dikhuatiri menyebabkan bilik nampak penuh dan berserabut. Namun, tidak bermakna bilik luas perlu dihias dengan tatahias ringkas kerana ia nampak tidak praktikal dan terlalu kosong.

“Seimbangkan ruang dengan perabot supaya soal praktikal tadi tidak diabaikan,” kata Alam.

Untuk bilik luas, tidak salah masukkan kerusi mahu pun sofa atau pun set audio visual. Namun, fungsi bilik tidur sebagai ruang tidur atau rehat perlu diambil kira.

“Jika dirasakan set audio visual boleh mengganggu aktiviti tidur atau rehat, maka lupakan saja hasrat membawanya masuk dan jadikan hiasan bilik. Ada juga percaya membawa set berkenaan boleh mengganggu waktu rehat dan romantik bagi bilik pasangan suami isteri,” katanya.

Mengenai konsep bilik tidur, katanya gaya Inggeris biasanya menggunakan warna pastel manakala hiasannya lebih terperinci seperti meletakkan ‘cornish’ pada siling dan dinding. Begitu juga penggunaan ‘skirting’ atau kambi dan lantai dengan kemasan jubin dan granit manakala katil dihias dengan cadar yang nampak mewah, lembut dan gebu termasuk penggunaan baldu serta satin mewah.

Bagi konsep kedesaan Inggeris, warna biru, kelabu dan coklat lembut sesuai untuk dinding, manakala aksesori biasanya mempunyai ciri kedesaan seperti bunga-bungaan dan haiwan. 

Konsep oriental mahupun Aseania dan Nusantara, fabrik untuk bilik mengikut ciri budaya dan tradisi si pemilik bilik tidur, tidak ketinggalan penggunaan sutera dan kain bercorak atau batik manakala perabot kayu jadi pilihan sesuai. Warna alam termasuk kuning lembut, merah lembut, hijau dan coklat sangat sesuai untuk konsep ini. 



Hias bilik sempit 
Sesetengah orang tidak bijak menggunakan aksesori untuk bilik tidur kerana bimbang bilik berserabut atau nampak bersepah. Namun, jika pandai suai padan dan menyusun atur dengan betul, tidak timbul soal bilik tidur menjadi berserabut. - petuaseharian.bligspot.com

Berikut adalah tips menyusun atur bilik tidur yang kecil nampak lebih luassss.


1. Gunakan warna pastel


Kebanyakan rumah mempunyai warna asal dinding iaitu warna putih. Walaupun putih membantu memberikan ilusi ruang nampak luas dan besar, tetapi ia masih nampak bosan dan tidak menarik. Justeru, apa salah gunakan warna pastel atau warna yang lembut, cair dan pucat. Salah satu cara gabungkan warna putih dengan warna segar seperti hijau.


2. Perabot dan Tempat Penyimpan 


Ada yang beranggapan bilik yang kecil memerlukan perabot kecil juga bagi memberi ilusi supaya bilik tidur nampak besar. Sebenarnya tidak, jika perabot kecil akan menampakkan lagi bilik itu bertambah sesak. Lebih baik mempunyai perabot yang penting saja seperti katil, almari pakaian, meja solek berserta kerusi dan meja sisi dengan lampu meja. Itu sudah memadai. Sebaiknya gunakan perabot jenis ‘multipurpose’ atau pelbagai guna dan fungsi. Contohnya, katil yang bawahnya mempunyai tempat penyimpanan pasang siap atau meja solek yang boleh dijadikan meja kerja dan almari pakaian dengan pelbagai ruang penyimpanan serba guna.

Untuk ruang sempit, letakkan katil rapat dengan dinding bagi menambahkan keluasan pada ruang lantai. Gunakan kotak penyimpanan barang kemas atau aksesori di meja solek sebagai tempat meletakkan lampu meja. Hadkan penggunaan meja tepi katil kepada satu berbanding dua manakala di sudut kosong diletakkan lampu lantai.


3. Cermin


Cermin adalah satu medium yang memberikan ilusi keluasan pada ruang. Boleh dipasang di sebelah dinding katil, atau gunakan cermin berkaki atau membeli almari pakaian yang tersedia cermin di daun pintunya. Cermin di meja solek juga membantu.


4. Percahayaan


Gunakan secara maksimum cahaya semula jadi melalui tingkap bilik tidur anda. Elakkan perabot yang menghalang terus cahaya berkenaan. Gunakan blinds atau sheer berbanding langsir jika bilik tidur kurang cahaya matahari masuk.

Jika cahaya lampu siling tidak menerangi secukupnya bilik tidur. Tambahkan lampu meja dan lampu lantai. Gunakan teknik pantulan cahaya dengan lampu lantai menerangi siling bilik kesannya pasti lebih menarik.


5. Aksesori Dekorasi


Aksesori dekorasi jenis kemasan cermin atau ‘stainless steel’ membantu memberikan ruang nampak eksklusif dan luas kesan pantulan dan sinaran barang berkenaan. 

Selain itu, satu gambar lukisan bersaiz besar yang diletakkan di dinding kepala katil boleh menampakkan dinding itu nampak besar



INFO
  • Anda perlu ketahui bahawa setiap bilik perlukan titik tumpu begitu juga bilik tidur. Untuk bilik tidur katil adalah titik tumpu. Untuk bilik yang luas letakkan katil di tengah-tengah

  • Letakkan katil supaya ia tidak menghalang pintu masuk, almari atau bilik mandi. 

  • Pilih perabot yang sesuai dari segi saiz untuk bilik. Contohnya, seorang remaja tidak perlu katil seperti dua orang dewasa tidur. Pilih katil bujang daripada katil saiz besar atau ‘king size’

  • Tidak perlu meletakkan meja sisi kiri kanan katil seperti kebiasaan. Letakkan satu saja meja sisi dan sebelah lagi letakkan lampu lantai.

  • Jika ruang bilik anda tidak bersegi empat sama sisi atau mempunyai dinding yang panjang, gunakan almari pakaian pasang siap ‘built-in’ tinggi hingga siling bilik. Ini memberikan lebih ruang penyimpanan.

  • Buang perabot atau aksesori dekorasi yang tidak membantu anda mendapatkan ruang yang nampak kemas, luas dan teratur.



Petua Seharian@ petuaseharian.blogspot.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Macam-macam ada :