01 February 2015

Cara Berdamai

Berdamai, bagaimana caranya?


Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Ingat tak lirik lagu siapa ni? Sapa yang tak ingat akan lagu nyanyian Allahyarham Tan Sri P.Ramlee ni kan? Ayat ini sering dikaitkan dengan kehidupan alam rumahtangga .

Biasalah kan..dalam hubungan suami isteri pergeseran, pergaduhan atau pertengkaran sering berlaku. Setelah bergaduh mestilah nak berdamai. Kalau boleh semua pasangan mahu supaya pergaduhan itu adalah yang terakhir. mereka ingin perdamaian yang kekal. Tapi biasanya apa yang berlaku ialah disebaliknya. Perdamaian hanyalah bersifat sementara. Hari ni berdamai, esok lusa gaduh lagi.

Bengang tak?

Jadi disini, ada sedikit tips atau teknik terbaik untuk berdamai. Cubalah realisasikannya. Pasti bab masam-masam muka, merajuk untuk beberapa hari dapat dikurangkan. Nak lenyap tak boleh pulak nanti takde masam manis, pahit masin pulak..hehe.   - petuaseharian.blogspot.com


1. Jangan merajuk

Ramai isteri menggunakan strategi merajuk untuk menang dan paksa suami mengalah. Silap sikit je..merajuk, salah sikit merajuk. Bila merajuk tu jangan ler berlebihan..sebenarnya merajuk ni tak dapat menyelesaikan masalah, malah akan memburukkan lagi keadaan.

Walaupun merajuk dapat mendorong suami mengalah untuk berdamai tetapi strategi sebegini tidak membawa kedamaian kekal. Malah perbuatan merajuk ini sangat merbahaya. Sebabnya..ia akan menyukarkan usaha untuk berdamai semula. semakin kuat isteri merajuk suami akan terus buat derk je..sebab orang lelaki kan ada ego dia, dia tahu dia sedang dihukum oleh isterinya dengan cara merajuk. Jadi dia rasa terhukum dan apabila rasa macam tu lagi ler dia tak nak berdamai. Di pihak isteri pula tidak mahu berdamai selagi dia belum menang. Hehehe ada ke isteri dan suami yang macam tu? Hmm tentu ramai yang macam tu. pantang silap sikit, buat muka, suami pujuk, tak endah beberapa kali pujuk masih tak nak berdamai suami akan terus buat derk.baru padan muka. Hehehehehehe.

2. Jangan menghukum

Pergaduhan, pertengkaran dan konflik antara suami isteri akan meninggalkan kesan buruk kepada hati dan perasaan kedua belah pihak. Bila dah bergaduh tu, masing-masing cenderung mahu menghukum satu sama lain. Sebab apa? Kerana hendak memuaskan hati yang sakit atas kata-kata berbisa dan perbuatan salah suami atau isteri.

Lelaki dan wanita ni, dia ada cara tersendiri apabila menghukum pasangan. Lelaki cenderung untuk menarik diri di mana mereka tidak mahu lagi bercakap-cakap dengan isteri, melainkan terpaksa. (Jual mahal lah tu )

Wanita pula cenderung untuk merajuk, menekan, menarik muka masam, menyindir, tidak mahu senyum dan tidak mahu melayan suami. Hukuman sebegini tidak mungkin akan menyelesaikan sebarang masalah.

Hukuman tidak akan menolong proses berdamai. Malah ianya hanya mempercepatkan proses kerosakan hubungan. Walau apa bentuk hukuman sekalipun, samada kecil atau besar, hukuman itu hanyalah menyukarkan proses untuk berdamai.

Jadi, kalau benar masih ada niat nak berdamai, jangan menghukum.

3. Jangan berdusta

Jika pasangan kita, tak kiralah suami isteri, kawan rapat atau tunang kita yang telah menunjukkan sikap mahu berdamai dan kita pun nak berdamai juga, jangan berdusta.

Jangan pura-pura jual mahal atau tarik harga. Jangan berpura-pura tidak sudi atau benci. Tinggi risikonya. Dia mungkin menyangka kita betul-betul tak sudi dan tak mahu berdamai. Akibatnya dia mungkin terdorong bersedia untuk melupakan usaha nak berdamai.

4. Jangan mencari salah

Kalau nak berdamai, hentikan tabiat suka mencari silap orang. Mencari kesalahan ini termasuklah perbuatan mencari kelemahan-kelemahan dan kekurangan diri orang itu dan menuduhnya salah atau silap. Ia juga termasuk perbuatan berleter, menegur, mengkritik dan menasihati orang itu. Cari salah atau silap orang lain tak mungkin bawa penyelesaian. Hah suami isteri lagi ler tak boleh amalkan sikap sebegini.

5. Berhentikan bahasa negatif

Ada dua jenis bahasa negatif yang biasa digunakan apabila bergaduh iaitu bahasa tuduhan dan bahasa celaan. Jika nak berdamai, jangan gunakan bahasa negatif seperti dibawah ini:_

~ Ini semua kerana sikap awak yang tak betul tu. ( tuduhan )

~ Kenapa awak tak mahu dengar nasihat saya ? ( tuduhan )

~ Awak langsung tak guna. ( celaan )

~ Abang ni, sekolah saja tinggi, tapi otak bodoh juga . ( celaan )

Jika nak berdamai, tukar bahasa negatif kepada bahasa positif sebab bahasa positif sangat baik kesannya kepada hubungan cinta suami isteri. Contoh bahasa positif ialah bahasa pengiktirafan, penghargaan, pujian dan sanjungan. Gunakan bahasa ini dengan murah dan lumayan.

6. Bercakaplah tentang hari ini dan esok

Bila dah berdamai tu, jangan buka cerita lama. jangan pandang ke belakang ( JANGAN PANDANG BELAKANG seram..serammmmmm ) dan jangan mengungkit perkara2 yang menyebabkan konflik itu. Jadikan setiap pergaduhan itu sebagai pengalaman dan pengajaran untuk kita tidak mengulangi perkara yang sama.

7. Senyum semula

Di dalam sebuah kajian, antara perkara yang banyak disebut oleh lelaki terhadap bekas-bekas isteri mereka ialah bahawa isteri mereka tidak senyum lagi. Jadi, senyumlah, walaupun susah, kerana senyuman adalah cara yang mujarab untuk berdamai semula.

Diharap tips ini dapat digunapakai dan diamalkan.



Petuaseharian.blogsapot.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Macam-macam ada :