Perlu tolak ansur bakal menantu, mentua
Bakal menantu pilihan ibu mentua pastinya berada di zon paling selesa kerana tidak perlu memikirkan cara terbaik memikat dan menawan hati ibu lelaki yang dicintai.
Namun, bagi mereka yang bukan pilihan bakal mentua, apakah langkah terbaik dan titik keserasian yang perlu dicari supaya mata dan hati ibu bakal suami tertumpu dan menjadi milik kita selamanya?
Pengalaman beberapa rakan yang kini sudah berumah tangga amat mengerikan apabila menceritakan kepayahan mengambil hati bakal ibu mentua masing-masing, yang mempunyai pelbagai kerenah sehingga kadangkala timbul rasa meluat.
Seorang rakan, Rina, 26, (bukan nama sebenar) berkongsi pengalaman ngeri apabila kehadirannya dalam kehidupan keluarga bakal mentua seperti tidak direstui pada mulanya.
"Macam-macam cara saya lakukan untuk tambat hati bakal mentua tetapi semuanya tidak menjadi. Ada saja yang tidak kena di matanya.
"Sampai satu tahap saya mula bosan dan tidak mahu lagi mengambil hatinya. Saya juga ada ego dan keegoan bakal ibu mentua membuatkan saya berputus asa kerana saya melihat diri tidak sempurna di hatinya," katanya.
Beliau mengakui, menambat hati mentua bukan perkara mudah, terutama bagi wanita kerana ia memerlukan kesabaran yang tinggi dan lebih penting, perlu membuang ego yang ada dalam diri.
Keadaan berbeza bagi bakal menantu lelaki. Biasanya menantu lelaki lebih mudah diterima dan tidak banyak kerenah yang perlu dilalui untuk menjadi ahli keluarga baru pasangan.
"Bagi bakal menantu lelaki, ia agak mudah kerana tidak banyak keserasian yang perlu dicari, tetapi bagi bakal menantu wanita, ia adalah cabaran, tambahan pula bakal suami anak emas atau tunggal," katanya.
Berkongsi pendapat, Rina tidak menafikan ada ibu mentua yang baik dan menerima bakal menantu seadanya kerana mungkin lebih mengutamakan kegembiraan anak berbanding kepuasan hati sendiri.
Gadis berasal dari Perak ini juga tidak lokek menceritakan pengalaman pertama kali mengunjungi rumah bakal ibu mentua di Kedah.
"Sebelum berangkat ke rumah bakal mentua, saya sudah siap membeli telekung, kain pasang mengikut warna kegemarannya, kek, puding dan beberapa barangan lain sebagai persediaan awal menawan hatinya.
"Sepanjang perjalanan hati saya berdebar kerana sudah dengar cerita daripada kekasih, ibunya seorang yang tegas. Mulut pula terkumat-kamit membaca doa sebagai penguat semangat," katanya.
Masa yang dinanti tiba dan kehadirannya disambut dengan wajah mencuka bakal ibu mentuanya. Walaupun hatinya terasa, Rina tidak menolak, keadaan itu mungkin disebabkan salah dirinya.
"Mungkin silap saya juga kerana tidak dengar cakap bekas kekasih bahawa ibunya tidak suka gadis tidak bertudung. Tetapi, saya berpuas hati kerana saya menjadi diri sendiri dan tidak hipokrit, "katanya mengakhiri perbualan.
Nur Diyanah, 18, pula berpendapat setiap bakal menantu perlu bijak mengambil hati bakal ibu mentua.
Ego perlu dibuang jauh, katanya dan paling utama, hormati ibu dan keluarga mentua seperti menghormati orang tua yang lain.
"Setiap orang perlu perubahan dalam diri. Jika perkara yang tidak disukai bakal ibu mentua menjurus kepada kebaikan, apa salahnya kita ikut dan lakukan perubahan," katanya.
Nur Diyanah, berkata dia sudah bersedia untuk bertemu bakal mentuanya dan antara persediaan yang dilakukan bagi menambat hati adalah dengan membawa buah tangan tetapi perlu memastikan apa yang dibawa itu disukai.
“Pada saya, tak salah jika kita bertanya pada kekasih apa yang disukai ibunya. Jika ibunya suka warna hijau, kita mungkin boleh membeli baju, tudung, beg tangan atau sebagainya mengikut warna yang disukainya.
"Apa saja yang dibeli, pastikan hati kita ikhlas kerana keikhlasan pastinya terpancar pada riak wajah kita ketika mengunjungi bakal ibu mentua. Paling penting jadi diri sendiri," katanya.
Bagi Farah Fauzi, 18, dalam hubungan menantu, mentua, kedua-duanya perlu berusaha untuk mewujudkan hubungan yang baik.
“Bukan saja menantu yang perlu mengambil hati bakal mentua, pihak mentua juga harus bertolak ansur dan berusaha bagi memastikan hubungan mesra terjalin antara mereka. Bakal mentua juga harus rendahkan ego untuk mencari keserasian dengan menantu.
“Paling penting untuk menantu, hormati mereka yang lebih tua dan bersedia memperbaiki segala kelemahan,” katanya.
Farah Fathiah, penuntut guaman yang sudah tiga tahun bercinta dengan kekasih, bagaimanapun tidak menolak akan terus mempertahankan hubungan dengan kekasih andai dihalang bakal mentua.
"Jika saya ditolak, saya perlu tahu alasan saya ditolak dan jika memang berpunca daripada saya, saya akan terus berubah. Jika bukan salah saya dan alasan yang diberikan tidak munasabah, saya akan cuba buktikan saya di pihak yang benar," katanya yang sehingga kini belum pernah bertemu ibu kekasih hatinya.
Sementara itu, Pakar Motivasi dan Kaunseling, RKH Motivasi and Services, Dr Robiah Kulop Hamzah, berkata perkara utama bagi mencapai titik keserasian antara bakal menantu dan ibu mentua adalah melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran.
Katanya, sebagai bakal menantu, ilmu dan kemahiran seperti memasak dan menjahit dapat membantu menambat hati bakal mentua selain tertib ketika bercakap, pandai mengaji dan bijak menyesuaikan diri.
Beliau berkata, bakal menantu tidak sepatutnya membuat tanggapan awal dan negatif terhadap bakal ibu mentua kerana ia akan memberikan kesan pada pembinaan sesuatu hubungan.
Katanya, bakal menantu juga perlu mengelakkan sifat hipokrit atau berpura-pura dalam mengambil hati bakal mentua dan pada masa sama, perlu banyak memperbaiki kekurangan selain belajar mengawal diri.
Dr Robiah, berkata sebagai ibu mentua, golongan ini berhak mempunyai ego dalam memilih bakal menantu yang terbaik dalam kehidupan anak lelaki masing-masing.
"Tidak salah mereka mempunyai ego. Ini kerana setiap ibu pasti mahukan yang terbaik untuk anak mereka. Mereka ego disebabkan mereka terpaksa berpisah dengan anak mereka. Oleh itu, mereka sangat berhati-hati dan mencari wanita yang baik untuk anak mereka," katanya.
Justeru, beliau menasihati wanita supaya belajar menjadi gadis yang baik dan mendekatkan diri dengan Tuhan.
"Baik di sini bermaksud perlu jadi baik, baik hubungannya dengan Tuhan, baik dari paras rupa, baik dengan keluarga, baik peribadi dan baik dengan diri sendiri.
"Perlu ingat, jodoh itu di tangan Tuhan dan paling penting menjadi diri sendiri. Jika bakal ibu mentua suka menantu yang bertudung, ikutlah kerana ia ke arah kebaikan tetapi elakkan berpura-pura. Tindakan perlu ikhlas," katanya sambil menambah pasangan lelaki juga berperanan besar membantu mengukuhkan hubungan baik dua wanita penting dalam hidupnya. - petuaseharian.blogspot.com
Panduan/Tips menjadi menantu kesayangan
1. Sebaik saja anda sah sebagai tunangannya, mulakan berkenal-kenalan dengan keluarga mentua. Andai tinggal berjauhan, hubungilah mereka melalui telefon sekadar untuk bertanya khabar. Jika duduk berhampiran, cuba sesekali luangkan waktu berkunjung ke rumahnya.
2. Ketika berkunjung, bawalah buah tangan bersama. Sekurang-kurangnya dengan membawa kuih atau buah-buahan. Tetapi lebih elok jika anda membawa cenderahati seperti sepasang kain sebagai tanda kenangan.
3. Kenali sikap sebenar mentua anda. Tanya kepada pasangan anda, apa yang disukai dan dibenci oleh mentua. Jika anda tahu apa yang disukai dan dibenci, secara tidak langsung ini boleh memberikan persediaan ketika menjadi ahli keluarganya kelak.
4. Sesudah berkahwin, jangan sesekali anda memarahi anaknya di hadapan mereka. Keadaan ini memberikan gambaran sebenar sikap anda terhadap anak mereka. Situasi ini mungkin akan menimbulkan kebencian di hati mentua.
5. Setiap kali bertandang, cuba mengambil hatinya dengan bercerita mengenai pengalaman lucu yang boleh menghiburkan hatinya. Jangan lupa bercerita dengan sepenuh perhatian supaya dia tidak rasa jemu. Ingat, jangan pula anda bercerita sesuatu yang dianggap bodoh dan boleh memalukan diri sendiri.
6. Berkongsi minat dengannya. Kalau dia gemar bercucuk tanam, anda juga harus belajar bercucuk tanam. Kalau dia gemar memasak, tidak salah anda cuba belajar memasak daripadanya. Tunjukkan yang diri anda betul-betul berminat dengan apa yang disukai. Bagaimanapun anda dinasihatkan jangan belajar sambil lewa kerana mungkin dia beranggapan anda tidak serius.
7. Apabila tiba hari-hari penting seperti Hari Ibu, ulang tahun perkahwinan, Hari Bapa dan hari lahir, jangan lupa menelefon mengucapkan sesuatu. Lebih baik jika anda berkunjung ke rumahnya dengan membawa hadiah atau, anda juga boleh membuat kejutan dengan mengadakan majlis untuk mereka.
8. Jika ada majlis kenduri, pastikan anda ringan tulang membantu mengemaskan apa yang patut. Terutamanya jika kenduri dilakukan dengan memasak sendiri. Pasti banyak barang yang patut dibasuh seperti periuk, kuali, gelas atau pinggan mangkuk. Walaupun anda keletihan, cuba sibukkan diri dengan menolong apa yang patut. Jika majlis dilakukan secara katering, cubalah mengemas apa yang patut di dalam atau luar rumah.
9. Paling penting, jaga pertuturan anda. Jika sebelum ini anda seorang yang 'mulut lepas', anda dinasihatkan supaya sentiasa menjaga pertuturan anda. Kata orang, kerana mulut, badan binasa. Jadi berhati-hati ketika menuturkan sesuatu di hadapan mereka. Jangan sampai menyinggung perasaan keluarga mentua.
10. Akhir sekali, cuba mengasihani keluarga mentua seperti anda menyayangi keluarga sendiri. Anggaplah mereka sebahagian daripada darah daging sendiri supaya hubungan akan bertambah mesra dan berkekalan hingga ke akhir hayat.
Petua Seharian @ petuaseharian.blogspot.com