04 April 2017

Panduan Membersihkan Bilik Mandi

petuaseharian.blogspot.com 
Cara Mudah Membersihkan Bilik Mandi


Bilik mandi. Seringkali orang ramai mengabaikan kebersihan bilik mandi di rumah kerana beranggapan bahawa bilik mandi ini adalah ruang yang dianggap tidak penting.

Namun tahukah anda sebenarnya bilik mandi ini adalah cermin peribadi terhadap si tuan rumah. Jika bilik mandi tersebut bersih, maka pembersihlah tuan rumah dan begitu pula sebaliknya.

Bagi memastikan bilik mandi anda sentiasa bersih, curikan masa anda selama 4 minit untuk mencuci bilik mandi setiap hari. Caranya dengan menyembur cecair pencuci dan gosok dengan menggunakan span bermula dari bahagian paling bersih pada dinding atas diikuti dinding bawah yang kotor, sink tab dan juga mangkuk tandas.

1. Jika jubin tandas anda berlumut, bersihkan dengan menggunakan bahan peluntur bersama air. Kemudian biarkan beberapa jam atau semalam sebelum diberus. Dengan cara ini, kesan kotoran mudah hilang. Sekiranya bahan peluntur yang anda gunakan itu kuat, jangan tuangkan terus di atas jubin,sebaliknya campurkan bersama air untuk mengelakkan kerosakan pada jubin.

2. Pastikan juga anda menggosok mangkuk sink sekurang-kurangnya 2 minggu sekali, cermin tandas, mangkuk tandas, dan juga lantai bilik mandi seminggu sekali.

3. Selalunya bahagian sudut lantai jubin iaitu pertemuan di antara lantai dan dinding yang sukar dibersihkan menjadikannya selalu diabaikan ketika proses membersihkan bilik mandi. Oleh itu, gunakan berus gigi kerana ukurannya yang kecil memudahkan ia sampai ke celah sudut berbanding berus besar.

4. Jangan lupa untuk meletakkan sabun dan pewangi tandas setiap hari untuk mengelakkan bau yang kurang menyenangkan.


Tips Menghias Bilik Mandi

1. Pastikan anda memasang cermin muka.
2. Sediakan tempat letak ubat gigi, berus gigi, sabun dan shampoo di tempat yang mudah untuk diambil .
3. Sediakan rak menyangkut pakaian dan tuala.
4. Memasang bingkai gambar atau lukisan
5. Hiasikan bilik mandi dengan bunga-bungaan atau pokok hijau untuk kesegaran. Namun pastikan tidak terlampau.



Petua Membersihkan Kotoran Degil Dalam Bilik Mandi

14 February 2017

Perkara Patut Anda Cuba Dalam Usaha Memperolehi Zuriat

petuaseharian.blogspot.com 
7 Perkara Patut Anda Cuba Dalam Usaha Memperolehi Zuriat

Setahun sudah usia perkahwinan, namun tanda-tanda untuk hamil masih belum kunjung tiba. Keluarga mertua sudah mula bertanya. Stres dan bimbang mulai menguasai diri.

Berikut antara perkara berfaedah yang patut anda cuba, dalam usaha memperolehi zuriat.

1. Bersenam
Suami isteri haruslah melakukan senaman sekurang-kurangnya 30 minit sehari. Lakukannya secara konsisten setiap hari bagi meningkatkan tahap kesihatan dan kesuburan tubuh badan. Jika tidak punya masa kerana sibuk bekerja, lakukannya aktiviti seperti berjoging, berenang atau berbasikal pada hujung minggu.

2. Kurangkan pengambilan kafein
Hadkan pengambilan kafein kepada sekurang-kurangnya satu cawan sehari. Lebih baik cuba untuk mengambilnya hanya dua kali dalam sebulan dan selebihnya jadikan minuman sihat seperti air kosong dan susu sebagai amalan.

3. Berhenti merokok
Merokok merupakan satu tabiat buruk yang diketahui umum tidak    mendatangkan kebaikan, malah memberi kesan buruk kepada perokok dan individu di sekelilingnya. Tabiat merokok juga mempengaruhi tahap kesuburan seseorang, oleh itu baik anda atau pasangan, berhentilah merokok.

4. Jumpa pakar perubatan
Lakukan pemeriksaan kesihatan dengan doktor pakar berkaitan tahap kesuburan dan sebagainya. Jika ingin mengambil suplemen tertentu pastikan anda dan pasangan mendapat kebenaran dan memastikan kesan sampingan yang akan berlaku jika ubat tersebut diambil.  

5. Masalah berat badan
Pastikan anda dan pasangan mempunyai berat badan ideal agar kesihatan anda dan pasangan tidak terganggu. Ini kerana masalah obesiti boleh menjadi penyebab anda sukar mendapat cahaya mata.  

6. Amalan pemakanan sihat
Makanan seperti buah-buahan, kekacang, sayuran hijau dan bijirin penuh merupakan yang terbaik untuk pemakanan seharian kita dan perlu diamalkan sebelum anda hamil lagi.

7. Ambil Asid Folik
Pengambilan asid folik sebelum 3-6 bulan sebelum kehamilan adalah sangat penting untuk membolehkan tubuh kita bersedia untuk sebarang pertumbuhan dan pembentukan sel-sel baru. Kandungan asid folik yang mencukupi akan membantu wanita mematangkan telur ovum, membantu pembentukan plasenta dan proses pelekatan janin di dinding rahim.




06 February 2017

Jangan Paksa Anak Duduk Diam 24 Jam

petuaseharian.blogspot.com 
Ibu Ayah Kena Faham Proses Perkembangan Anak Ikut Fasanya

Trend ibu bapa muda sekarang sentiasa mahu anak mereka jadi cepat pandai dan boleh duduk diam tak payah 'explore' sekeliling sebab nanti letih nak kejar mereka.

Sudahnya ramai anak-anak kecil yang memang boleh duduk diam masa makan di restoran sebab masing-masing khusyuk tengok cerita kartun di 'handphone' ibu atau ayah.

Selesa nampak ibu dan ayah boleh makan dengan tenang tanpa 'gangguan' dari si kecil. "Eh, semua orang buatlah."

Lagi satu, ibu bapa sekarang juga 'gila' nak suruh anak mereka cepat pandai. Masing-masing berlumba nak anak pandai membaca sejak usia bayi lagi. Sudahnya anak yang jadi mangsa paksaan hingga mengganggu fasa perkembangan mereka secara berperingkat.

Penerangan daripada, seorang Jurupulih Perubatan Cara Kerja (Occupational Theraphy) diharap boleh membuka mata semua ibu bapa supaya lebih faham tentang perkembangan normal anak.

"Puan,anak (in between 2-4 tahun) susah nak fokus bila buat aktiviti...macam mana nak buat ye?"

Ni soalan paling susah saya nak jawab. Kadang-kadang saya "face palm" muka saya sendiri sebab pelik kenapa nak awal sangat anak fokus dan duduk diam mcm kita????????

Buka minda luas2, tarik nafas dalam2 tentang apa yang saya nak cakap ni.

Proses tumbesaran anak

PROSES.....setiap benda ada PROSES utk dapatkan sesuatu hasil. Budak,bukan terus keluar jengah dunia,terus dapat jadi macam kita yang macam orang dewasa ni.

Adakah budak....asal keluar je dari perut kita terus boleh bercakap, membaca, menulis, pakai baju, basuh pinggan mcm kita?? Ada ke? Secara fitrahnya, takde kan?

Benda fokus tak fokus yg asyik dok bermain dalam fikiran kita ni hanyalah satu persepsi dan mainan perasaan semata-mata. Sebab apa? Sebab kalau boleh, kita nak anak ni duduk diam2 sebab kita pun nak buat kerja kita, nak berehat, nak ada ''me time''..

Kanak2 ni parents....fitrahnya mereka untuk meneroka. Mana ada budak yang boleh duduk diam. Kalau ada budak keluar2 dok diam, kena cepatlah bawak pergi check sebab ianya sudah 'melawan' fitrah manusia.

Kanak2 kena melalui fasa perkembangan yg wajib ada pada diri kita sebagai manusia biasa iaitu

SENSORIMOTOR DEVELOPMENT atau PERKEMBANGAN SENSORIMOTOR

Kalau perkembangan sensorimotor ni tak lengkap, ada istilah Sensory Processing Disorder. Sebab tu saya menentang sekeras-kerasnya kaedah membaca untuk kanak2 di bawah usia 2 tahun. Sensory Processing Disorder ni kalau tak kena kat anak anda tak apa, tapi kalau kena kat anak orang lain?

Kdg2 saya geram juga....apa yang saya cakap, seringkali tidak dipandang endah sedangkan setiap tahun saya dan therapist lain menerima rujukan utk kes kanak2 yang developmental delay yang kebanyakannya berpunca daripada proses perkembangan sensorimotor tidak berjalan dengan baik dan ianya semakin meningkat dari sehari ke sehari. Setiap satu tadika kini boleh dikatakan sekurang-kurangnya ada seorang dua kanak-kanak yang tidak boleh mendengar arahan, berkomunikasi dengan baik, dan mempunyai tingkah laku sukar untuk dikawal.

Dah kalau dari kecil diajar duduk untuk membaca, tengok TV, tengok gadget time makan, time tidur... time kita nak berehat... memanglah jadi begitu. Tapi bila bagi main benda kotor, kita kata geli...bila anak nak memanjat, kita risau jatuh....

Nilah dia sikap parents zaman skrg yang sebenarnya memusnahkan proses perkembangan anak itu sendiri. Semua nak cepat...nak anak cepat belajar, nak anak cepat pandai, nak anak cepat duduk diam, nak anak cepat jalan, cepat itu, cepat ini....

Tetapi PROSESnya tak nak lalu sendiri...

"Susah kalau nak ikutkan kehendak anak nak lari sana sini, boleh semput saya dibuatnya": No komen. Ni jawapan paling malas saya nak layan. End up saya mmg tak reply dah. Sorry ya.

Proses perkembangan sensorimotor yang utama yang WAJIB anak lalui dan anda berikan kpd anak2, paling penting untuk usianya 0-4 tahun adalah:

1. Anak-anak kena diberi pendedahan terhadap setiap tekstur yang ada di sekeliling mereka bukan sahaja kpd kulit badan malah terhadap mulut juga. Tekstur ni faham tak apa? Tekstur lembut, berpasir, keras, kasar, berbulu, suhu panas dan sejuk, licin... tekstur makanan termasuklah yang crunchy, yang chewy, yang lembut, keras, juicy, ada rasa masam, manis, masin, pahit, tawar, pedas and so on.

Ni semua rangsangan tau. Kalau tak bagi, sistem otak takleh berfungsi. Faham ke tak faham? Sebab tu jangan obses sangat dengan flashcards. Flashcards takde semua bentuk rangsangan ni. Bagi benda real depan mata. Buah epal dalam gambar mana sama dengan buah epal yang sebenar. Kalau ajar anak 0-4 tahun huruf A, kalau dia tak kenal lagi, rileks sudah. A secara real tak melambangkan apa2. Sebab tu kdg2 berpuluh kali ajar, anak tak reti terus dah stress sebab anak tak pandai lagi. Padahal diri sendiri yg buat benda 'melawan fitrah' anak.Lepas tu cakap anak tak fokus. Apakah?????

Bila kita bagi rangsangan terhadap kulit dan mulut yang betul, secara automatiknya otot2 anak bergerak. Ini respon yang otak berikan setelah semua pemprosesan tadi berlaku dalam otak. Contohnya bila otot mulut bergerak, baru mudah anak nak bertutur dengan baik. Tapi benda ni takkan dapat dalam sehari dua, maka BERSABARLAH. Yang penting,kita beri secara konsisten.

2. Kanak-kanak suka nak bergerak.

Ada masalah ke nak bagi anak bergerak??? Lagi lama mereka bergerak, lagi baguslah sebenarnya.....

Pergerakan anak ni sebenarnya banyak merangsang proses yang kita sendiri tak nampak dengan mata kasar. Bila anak bergerak, sistem keseimbangan badan dirangsang, sistem penghantaran maklumat antara otak kiri dan kanan berlaku dengan pantas, sistem penglihatan membantu proses visual perceptual berlaku dengan baik, sistem daya tumpuan dalam otak menjadi kukuh, sistem otot dan sendi menjadi kuat dan ada endurance (ketahanan).... jadi bila lagi lama kita latih anak untuk bergerak, ketahanan otot dan sendi akan menjadi semakin kuat, anak akan mudah untuk duduk diam. Lagi sekali, proses ini bukan anak akan dapat dalam sehari dua. Ada anak, pada usia 5 tahun, apabila sudah dirangsang elok sistem pergerakan badannya, dia akan mudah duduk diam dan fokus pada tugasnya. Ada anak, kadang2 proses dia nak bergerak tu lama......sampai usia 7 tahun pun belum tentu boleh duduk diam dan fokus, ada masanya sampai usia akil baligh baru nak duduk diam.

Tapi sampai bilalah nak berkejaran dengan anak2 ni kan? Tak payah risau.... aktiviti fizikal ni bagi je anak ke taman permainan sama ada indoor atau outdoor. Antara rajin dan tidak je kita nak buat semua ni sebenarnya... Bagi anak yang lasak, boleh challenge dirinya dengan membuat aktiviti hiking, masuk hutan, rock climbing dan sebagainya. Tapi janganlah sampai suruh mereka memanjat signboard "IPOH" yang besar tu pulak. Kalau nak suruh boleh, tapi make sure safety measurement dan surat kebenaran kena ada la kan. Haha

Anak yang tak belajar lagi utk bermain bola, ajarkan. Dengan sebiji bola, kita boleh membaling, menangkap, menendang, menampar dan sebagainya. Pilih satu sukan untuk anak libatkan diri dan tiada salah utk ajarkan skills nya sebab ianya merangsang segala benda yg saya cakap kat atas tadi. Badan sihat, otak cerdas. Kalau asyik duduk dalam rumah je, bila masa badan nak sihat dan otak nak cerdas? Kalau kita boleh main golf, ajarlah anak main golf. Kalau tak boleh sangat, dah kalau anak nak berlari juga.... pergilah ke taman tasik, buat aktiviti berjogging dan berlari sama-sama. Kalau kita pun malas, jadi anak pun malas....janganlah disalahkan anak.

Bergerak tidak menjadikan anak nakal. Anak yang lasak seringkali disalah tafsirkan sebagai anak yang nakal. Menumbuk adalah satu bentuk bermain dan ada sesetengah negara bagi ruang utk anak buat 'fighting play' atau 'pillow play'. Ini benda normal. Anak yg nakal adalah mereka yang melakukan perkara2 yang dilarang dalam agama dan masyarakat. Selagi mana anak2 ini tidak melakukan perkara yang dilarang, selagi itulah pergerakan yg mereka lakukan adalah sah.

Anak yang bergerak tanpa arah tuju, berikan "arah tujuannya". Angkat dan letakkannya di atas papan gelongsor, buaian dan jongkang jongket. Kalau anak takut, jangan risau. Beri masa. Inilah prosesnya. Janganlah mengalah.

Ni dah kira panjang lebar sangat dah saya bagi penjelasan utk ajar anak supaya jadi fokus. Tak ada proses yang mudah utk buat anak fokus. Jangan pernah melawan fitrah perkembangan anak. Risau nanti lain pula jadinya. Mungkin dari segi perkembangan yg kita lihat pada mata kasar ni jadi sempurna eloknya di awal usia, tetapi di pertengahan usia mereka lain pula jadinya. Ada banyak kes anak yg sudah dibiasakan menjadi pandai sejak kecil, menjadi "down" terus ketika sudah besar, Tiada motivasi utk belajar. Kerana sentiasa diharapkan utk menjadi pandai sehingga tekanan dtg dalam banyak bentuk-cikgu force kan utk dijadikan kebanggaan sekolah la, tak dapat terima bila dapat markah rendah dan sebagainya.

Nabi pun mula membaca di usia Baginda mendapat wahyu. Anak kita? Belum boleh jalan lagi sudah disibukkan utk membaca walhal Nabi, ketika proses membesar, banyak membesar dengan memikul tanggungjawab diri dan hidupan di sekeliling Baginda.


03 January 2017

6 Tip Elak Anak Menangis Hari Pertama Di Tadika

petuaseharian.blogspot.com 
Ada kanak-kanak yang teruja dan tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke tadika tetapi ada juga yang tidak mahu ke sekolah dan akan mula menangis bila sahaja ibu atau ayah menyebut perkataan 'sekolah'. Ada bermacam ragam dan gaya si kecil yang kali pertama melangkah ke alam persekolahan.

Sebagai ibu ayah tentu sahaja anda ada cara tersendiri untuk memastikan anak tidak menangis atau meraung bila kali pertama ke tadika. Dalam tempoh seminggu pertama hari sekolah, anda boleh praktiskan tip berikut ini.

1. Ambil cuti
Kalau ini adalah hari pertama anak memulakan alam persekolahan, apa salahnya ibu dan ayah atau salah seorang mengambil cuti. Sekurang-kurangnya ia sebagai tanda sokongan menghantar anak ke tadika untuk kali pertama. Bangunkan anak awal pagi dan siapkan sarapan kegemarannya. Kalau anak masih liat untuk bangun awal, jangan tengking atau marahkan dia. Bersabar dan kejut anak dengan lemah lembut supaya dia tidak akan meragam kelak.

2. Beri kata semangat
Berikan kata-kata pujian dan semangat kepada anak anda supaya dia tidak meragam semasa ditinggalkan di tadika.

3. Tunggu sebentar
Si kecil mungkin masih belum biasa ditinggalkan sendirian tanpa ibu atau ayah di sisi. Jadi apa salahnya tunggu seketika sehingga anak anda benar-benar dapat menyesuaikan diri di tadika. Jangan tinggalkan dia tanpa memberitahunya. Yakinkan si kecil yang dia akan gembira belajar bersama kawan-kawan di tadika.

4. Jangan lupa tinggalkan pesanan
Terangkan kepada anak yang anda akan kembali mengambil mereka selepas kelas pembelajaran selesai. Maklumlah jika tidak dipesan bimbang pula anak risau apabila tidak nampak kelibat anda di tadika.

5. Minta bantuan cikgu
Sekiranya anak anda jenis kuat menangis dan tidak benarkan anda pergi meninggalkannya, eloklah minta nasihat daripada pihak guru di tadika. Mungkin pihak tadika boleh cuba memujuk dan menenangkan anak anda atau memberi kebenaran kepada anda untuk menemani anak pada minggu pertama persekolahan.

6. Tanya pengalaman anak
Sebagai salah satu cara untuk menggembirakan anak, jangan lupa untuk mendapatkan maklum balas anak semasa di tadika dengan bertanyakan soalan yang positif seperti "tadi cikgu ajar apa?", "tadik lukis apa?" dan "ramai kawan tak?" Secara tak langsung ia akan merangsang anak untuk seronok bercerita pengalaman pertamanya di tadika

Semoga dengan cara ini, anak akan lebih bersemangat untuk ke sekolah, ibu dan ayah pun senang hati.




Petua Seharian http://petuaseharian.blogspot.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Macam-macam ada :