01 January 2016

Tip Anak Bijak

5 Tip Anak Bijak

Semua orang mahukan anak yang bijak, cerdas dan pintar. Tetapi berapa ramai kita yang bergelar ibu bapa ini benar-benar membantu anak untuk membesar sebagai anak yang bijak? Kalau asyik sibuk melayan ‘hand phone’ dan membiarkan anak mengadap cerita kartun di televisyen atau tablet sahaja macam mana kita hendak melihat anak membesar sihat dan cerdas.

Berikut adalah lima tip mudah yang boleh diamalkan sejak anak anda usia bayi lagi. Jangan ingat bayi kecil tidak faham apa-apa. Bahkan mereka sudah mula belajar sejak hari pertama lahir ke dunia lagi. Apa yang penting, papa dan mama perlu rajin mengamalkannya.

1. Rajin berbual dengan bayi
“Berbual dengan bayi? Apalah yang dia faham.” Tentu itu tanggapan sesetengah daripada anda. Betul tak? Hakikatnya jika anda rajin berbual dengan bayi, ia membantu anak anda membina kemahiran pertuturan dengan lebih pantas. Bukankah memori bayi seperti sebuah span. Menyerap apa sahaja dengan pantas dalam enam tahun pertama kehidupannya. Bila tiba masanya, bayi anda akan cepat bercakap hasil daripada kerajinan anda berbual dengannya.

2. Membaca buku
Rutin membaca buku boleh dimulakan sejak bayi lagi. Walaupun dia tidak faham tetapi bayi akan menunjukkan tindak balas teruja apabila melihat buku dan mendengar anda membacakannya buku. Buku yang penuh dengan warna warni dan pelbagai lukisan membantu merangsang kemahiran koordinasi mata dan telinganya.

3. Mengenalkan alam
Ini merupakan pelajaran asas sebuah kehidupan. Sesekali bawa bayi anda keluar bersiar-siar dan kenalkan dia kepada alam sekitar. Dengan memberitahunya tentang pokok, bunga, haiwan, awan, bulan, matahari dan sebagainya, anak belajar banyak perkara baharu.

4. Mari bermain warna
Kita sedia maklum, bayi sangat teruja melihat objek berwarna. Oleh itu apabila sudah tiba waktu yang sesuai, anda boleh mengajarnya mengenal warna. Tidak semestinya perlu menggunakan alat tulis berwarna, cukup dengan pelbagai objek di sekeliling anda. Sesekali tidak salah membiarkan si kecil berseronok bermain dengan pensil warna.

5. Ajar mengira
Kalau mahu anak bijak matematik, apa kata mulakan ajar mengira sejak mereka kecil lagi. Jangan risau, bukan perlu menggunakan pensil dan kertas. Cara paling mudah, sambil anda mendukung bayi, ajarnya mengira 1 hingga 10 setiap kali anda bergurau senda, menciumnya atau sambil berjalan naik tangga. Secara tak langsung anda telah memupuk semangat sukakan nombor sejak dia kecil lagi.




Sumber: pa&ma


 Petua Seharian petuaseharian.blogspot.my
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...