01 December 2015

Tip Bantu Bayi Belajar Berjalan

13 Tip Bantu Bayi Belajar Berjalan

Berjalan sangat penting untuk perkembangan dalam kehidupan anak anda. Ia adalah petanda anak akan meninggalkan dunia bayinya. Kebanyakannya bayi pada usia 8 bulan akan mula merangkak, bergolek dan secara beransur akan mendapatkan kekuatan otot dan koordinasi badan untuk memudahkan ia berjalan. Selalunya anak kecil akan melakukan langkah pertama pada usia antara 9 dan 12 bulan. Kemudian akan mula berjalan dengan baik pada usia 14 atau 15 bulan.

Anak kecil belajar bagaimana untuk berjalan sebelum mereka belajar mendengar. Jadi, jangan memaksa bayi untuk memahami apa yang anda ingin ajarkan kepadanya kerana mereka masih belum mengerti apa-apa lagi. Apa yang anda perlu lakukan ialah bersabar dan pilih beberapa cara untuk mengajar mereka berjalan.

Berikut adalah tip yang boleh digunakan untuk membantu si kecil meningkatkan kemahiran berjalannya.

1. Pastikan persekitaran rumah selamat untuk mengelakkan anak daripada mendapat kecederaan ketika belajar berjalan.

2. Setelah anak anda belajar merangkak, bantu dia untuk terus melangkah dan pegang tangannya sehingga dia mampu untuk berdiri dengan betul tanpa jatuh.

3. Walaupun si kecil mula berdiri sendiri, dia tetap memerlukan bantuan anda untuk kembali duduk. Mungkin dia akan menangis. Jangan hanya memujuk untuk meredakan tangisannya tetapi ajarlah dia cara yang betul untuk duduk. Ajarlah dia bagaimana untuk membengkokkan lutut supaya dia boleh duduk tanpa jatuh. Berilah dia masa untuk mencuba sendiri.

4. Pastikan ada perabot untuk dia pegang supaya dapat bergerak sendiri dengan mudah.

5. Pegang tangannya kerana dia belajar untuk mengimbangi dirinya. Anda boleh menggalakkan bayi berjalan sambil memegang kedua tangannya. Anda boleh memegang tangannya sama ada anda berdiri atau melutut di hadapannya dan kemudian biarkan dia berjalan ke arah anda seterusnya lepaskan dia berjalan tanpa bantuan lagi.

6. Sentiasa ada dekat dengannya. Dia mungkin akan berjalan satu atau dua langkah sebelum mencari sokongan. Selepas mencuba, dia akan lebih yakin untuk berjalan lagi untuk langkah demi langkah. Sebelum anak anda tahu berjalan dengan sempurna, anda pastinya akan ‘menangkap’ dia beberapa kali untuk mengelakkan dia terjatuh.

7. Apabila mengajar anak untuk berjalan, jangan menggunakan walker. Ia boleh mengundang risiko bahaya yang boleh menyebabkan kemalangan dan kecederaan.

8. Elakkan membeli kasut sehinggalah anak anda boleh berjalan. Biarkan dia belajar berjalan di permukaan kasar, sejuk, berpasir atau berumput. Galakkan anak berjalan berkaki ayam kerana ini membantu mereka memperbaiki keseimbangan dan penyelarasan. Pastikan kakinya dibasuh segera untuk mengelak sebarang jangkitan kuman.

9. Salah satu perkara yang paling penting yang anda boleh lakukan untuk mengajar anak berjalan ialah menggalakkan dia untuk mendapatkan banyak senaman. Bantu dia untuk meningkatkan koordinasi badan dengan bermain permainan fizikal dan permainan kanak-kanak yang menggalakkan ketangkasan.

10. Permainan jenis tolak dan tarik sangat baik untuk mengajar bayi anda berjalan. Anda juga boleh bermain dengan menendang dan membaling bola. Aktiviti-aktiviti ini sedikit sebanyak akan menggalakkan koordinasi mata tangan dan keseimbangan badan.

11. Bagaimanapun, jangan memaksa anak anda untuk berjalan terlalu awal jika dia tidak menunjukkan tanda-tanda boleh berjalan lagi. Ini kerana kakinya masih belum bersedia untuk menyokong badannya. Jangan bimbang, dia akan berjalan dalam tempoh masa terdekat.

12. Cuba ajak si kecil untuk berjalan bersama tetapi pastikan anda tidak bergerak terlalu laju supaya dia tidak mudah jatuh. Mulakan dengan berjalan di hadapan rumah anda, atau laman rumah.

13. Jangan sekali-kali tinggalkan anak kecil sendirian. Dia mungkin akanter jatuh atau memerlukan bantuan anda.




Sumber: pa&ma


Petua Seharian petuaseharian.blogspot.my


02 November 2015

Cara Ajar Bayi Anda Lancar Bercakap

6 Cara Ajar Bayi Anda Lancar Bercakap


Apabila bayi comel anda sudah mahir berjalan tentu sahaja ingin melihatnya boleh bercakap pula. Rasa tak sabar hendak mendengar perkataan pertama keluar daripada mulut comel tersebut. Tapi bagaimana cara terbaik hendak mengajar si manja bercakap?

Ada teknik tertentukah? Sebenarnya bayi mula belajar bercakap sejak dia pandai mengeluarkan bunyi lagi pada usia 3 -4 bulan. 

Pada usianya 8 bulan ke atas, bayi sudah pandai membunyikan perkataan tertentu. Galakkan anak anda banyak bercakap dengan cara kerap melayannya berbual. Walaupun dia kelihatan tidak faham tapi percayalah dia sedang menyimpan apa yang didengarkan itu dalam kotak memorinya.

Jangan melarang anak belajar bercakap, biarpun perkataannya tidak difahami atau berulang-ulang.


Berikut 6 cara merangsang si manja lancar bercakap:

1. Teruskan peniruan
Biarkan anak meniru apa yang anda ucapkan. Ini kerana dia dalam tempoh belajar becakap dan mengumpul perbendaharaan kata. Menghalang anak meniru percakapan anda akan membuatkan anak hilang minat untuk menyebut perkataan yang didengarkannya.

2. Berbual
Ini teknik mudah yang boleh dipraktiskan sejak anak lahir lagi. Kekerapan ibu ayah melayan anak berbual membuatkan si anak lagi cepat bertutur. Dalam masa yang sama dedahkan anak dengan penggunaan bahasa asing seperti Bahasa Arab, Inggeris dan Mandarin.

3. Ajar sebutan betul
Jangan mengada-ngada untuk mengajar anak anda bercakap pelat. Ajar anak bercakap dengan cara sebutan yang betul. Tidak semestinya bercakap dengan anak kecil perlu bahasa yang pelat.

4. Kata-kata negatif
Pendedahan kepada pelbagai bahasa negatif daripada persekitaran seperti orang sekeliling, televisyen dan sebagainya boleh membuatkan si kecil pandai menuturkan kata-kata negatif. Nasihatkan anak kecil yang tidak tahu apa yang dituturkan itu.

5. Ajar perkataan positif
Beri dorongan kepada anak untuk bercakap bahasa yang sopoan. Misalnya, ajar ungkapan "terima kasih", "minta maaf" untuk semua perbuatan yang dia atau anda lakukan. Secara tidak langsung anak tahu penggunaan perkataan itu pada situasi yang bagaimana.

6. Pengulangan
Si kecil bukan belajar bercakap dalam masa sehari sahaja. Tetapi ibu ayah perlu rajin mengulang perkataan yang sama setiap hari. Lama kelamaan dia akan pandai bertutur dengan sendiri. Yang penting ibu ayah tidak malas melakukan rangsangan ini!



Sumber: pa&ma


01 September 2015

Tips Melancong Secara Solo

Tips melancong: Jangan takut melancong solo

Berjalan sendirian di tepi pantai sambil menghirup udara segar dan melihat panorama alam memang mendamaikan.

Setiap langkah yang diatur bagaikan mempunyai cerita tersendiri. Segala permasalahan yang membebankan juga bagaikan berlalu bersama angin laut yang bertiup lembut.

Berjalan sendirian di kota metropolitan yang penuh sesak dan sibuk memberikan pelbagai perasaan.

Melakukan perjalanan seorang diri atau melancong secara solo memberikan pengalaman berlainan dan sudah semestinya ia pengembaraan yang penuh dengan cabaran dan keseronokan tersendiri.

Namun, ramai orang terutama perempuan takut untuk memulakan pengembaraan atau melancong secara solo.

Melakukan percutian secara solo memberikan banyak manfaat terutama bagi anda yang ingin meluang­kan masa untuk diri sendiri dengan beristirahat yang cukup.

Bagi anda yang ingin melancong secara solo, tip melancong minggu ini menyenaraikan beberapa alasan kukuh mengapa anda perlu mencuba untuk melancong secara solo.


Bertemu dengan orang baru

Melancong secara solo sangat berbeza berbanding bercuti dengan teman dan pasangan.

Ketika bercuti dengan teman, anda cenderung berada bersama kelompok kecil setiap masa dan apabila bertemu orang baru, interaksi yang wujud kurang mendalam.

Tetapi, jika bercuti seorang diri dan berjumpa dengan orang baru, anda lebih banyak berinteraksi dan melakukan pelbagai aktiviti dengan mereka.

Keakraban juga akan terjalin dan mungkin hubungan persahabatan itu akan kekal sehingga pulang ke tanah air nanti.


Rasa bebas

Apabila melancong secara solo, anda bebas melakukan sebarang perancangan. Sesuka hati anda, bergerak seperti angin dan tidak perlu terbabit dengan pelbagai permasalahan dalam kumpulan.

Ketika bercuti, anda bertemu orang baru dan berpeluang bertukar-tukar fikiran dan pendapat mengenai destinasi menarik di tempat yang dituju.

Ini memberi kelebihan kerana ia boleh memperluaskan rancangan percutian anda dengan mengunjungi tempat-tempat yang tidak dibayangkan sebelum memulakan percutian.


Mengurangkan rasa takut

Perasaan takut dan cemas antara perasaan yang akan menghantui saat akan memulakan pelancongan solo.

Perasaan dan fikiran seperti, “Macam mana kalau ditimpa masalah nanti?” atau “Bagaimana jika terjadi sesuatu pada saya selama bercuti nanti?” akan sentiasa menghantui.

Sebelum memulakan pelancongan secara solo, perasaan seperti itu adalah normal. Kuncinya adalah dengan mempelajari lebih mendalam destinasi yang akan dituju.

Bagaimana keamanan di sana, keadaan di sekitar penginapan, bertukar fikiran dengan orang yang pernah ke tempat yang sama dan perkara-perkara lagi yang boleh membantu.

Apabila sudah berada di destinasi, hormati budaya tempatan yang ditempuhi.


Manjakan diri

Jika kehidupan harian anda sangat tertekan atau stres dengan pelbagai bebanan kerja atau belajar, melancong secara solo akan memberikan waktu rehat kepada anda.

Anda dapat memanjakan diri sendiri, misalnya menikmati makanan tempatan, jalan-jalan di pantai sambil menikmati matahari terbit atau terbenam, melakukan yoga dan banyak lagi mengikut kesukaan atau keselesaan masing-masing.


Cabaran

Ketika berada di destinasi seorang diri, anda mungkin akan menghadapi banyak hal yang tidak terduga. Jangan pernah merasa menyesal kerana mengambil keputusan melancong seorang diri.

Menghadapi sebarang masalah semasa melancong sebenarnya menguji diri untuk bagaimana menghadapi masalah yang ada.


Masa untuk diri sendiri

Seharian sibuk dengan segala macam peralatan elektronik seperti telefon atau tablet untuk berhubung berkaitan dengan pekerjaan cukup membuatkan anda tertekan.

Namun, ketika melancong secara solo, anda boleh meninggalkan semua itu.
Untuk sementara waktu, fikiran anda tidak akan dipenuhi dengan e-mel tugasan di pejabat dan banyak lagi.

Cipta ruang untuk memberikan istirahat kepada diri sendiri tanpa dibebani dengan pelbagai masalah. Namun jangan lupa untuk menghubungi keluarga terdekat mengenai keadaan selama anda bercuti secara solo.



BUAT sedikit kajian mengenai destinasi yang dituju sebelum melancong secara solo.

PERCUTIAN secara solo punya kelebihan tersendiri.

MEMBERI masa untuk diri sendiri ketika melancong secara solo nyata menyamankan.







01 August 2015

22 Tips Asas Servis Kereta

22 perkara asas yang anda mesti ambil tahu dalam penjagaan kereta



Menghantar kereta ke bengkel untuk diservis adalah cara terbaik bagi mereka yang tidak mahir dalam proses penyelenggaraan kenderaan.

Namun jika anda tersilap langkah, anda mungkin terperangkap dengan bengkel yang “cekik darah”, lantaran harga caj perkhidmatan yang sangat tidak munasabah dengan kerosakkan yang diservis.

Berikut adalah 22 perkara asas tentang servis kereta yang kami yakin amat penting bagi anda semua supaya tidak lagi menjadi mangsa mekanik cekik darah di bengkel-bengkel jerung yang ada. Semoga bermanfaat. petuaseharian.blogspot.com


1. Minyak Hitam

Minyak hitam yg bukan sintetik tu - setiap 5,000km atau 3 bulan whichever is earlier.
Kalau yg sintetik - mungkin 7,500km atau 10,000km.


2. Filter - sama seperti minyak enjin.
Minyak mineral biasa - 5000km
Minyak Synthetic - 7500km hingga 10000 km
Dalam ertikata lain, bila tukar minyak enjin tu, maka tukar juga la filter minyak tu sekali (oil filter)


3. Spark Plug

Ditukar selepas 20,000 km perjalanan mengikut buku jadual penyelenggaraan.

Jika anda menggunakannya sampai 30,000 hingga ke 40,000 km juga tidak menjadi masalah. Alatan ini bukan kritikal sangat.

Tetapi kalau dah lebih 40,000 km tidak ditukar, “electrode” akan menipis, maka perlu ditukarkannya. Harga untuk 4 biji biasanya sekitar RM20.00 ke RM25.00.


4. Bateri Kereta

Selepas 18 bulan hingga 2 tahun, anda boleh menukar bateri kereta anda bergantung pada cara penggunaan.

Jika anda sering membuat pengisian semula air suling bateri, ianya boleh bertahan sampai 2 tahun. Kalau selalu lupa refill dan selalu kering, dalam masa 6 bulan pun bateri boleh “kong”.

Free maintenance battery lain pulak ceritanya. Tidak perlu “top up” air, tetapi hargaya mahal sedikit daripada bateri biasa.

Tips: Apabila beli bateri, jangan main hentam sahaja, kerana terdapat banyak barangan cetak rompak dipasaran. Jadi, belilah bateri kereta daripada jenama yg boleh dipercayai seperti BOSCH, dan juga CENTURY. tapi ada juga jenama yang tak terkenal tapi elok!

Bateri yang baik kebiasaanya lebih berat daripada bateri yang kurang baik.Bandingkan bateri tersebut dalam kategori yang sama..kalau NS50 tu anda kena compare dengan NS50 dari jenama yg lagi satu! Kalau kancil biasanya pakai NS40 atau NS40L..begitu la citernya!


5. Timing Belt

Bila perlu ditukar? Biasanya selepas 60,000 km untuk kereta proton Wira, dan Proton Saga. Kereta Proton Waja boleh bertahan sampai 90,000 km dan Honda CRV pula mampu bertahan sehingga 160,000 km.

Jadi anda hanya perlu menukar timing belt mengikut jenis kenderaan yang anda gunakan. Ramai orang tersilap kerana menukar timing belt hanya selepas 60,000km perjalanan walaupun sebenarnya ianya masih elok lagi.


6. Clutch Plat 

Cluth Plug ini kebiasaannya jarang ditukar ganti melainkan kereta anda mengalami simptom “cluth slipping” semasa sedang memandu.


7. Fuel Filter 

Tukar aje la sekitar 40,000km sekali. Benda ni pun murah RM15-20je.


8. Air Filter (Filter Udara)

Perlu ditukar setiap 20,000km. Tetapi untuk mereka yang tukar kepada K&N type, anda sudah tidak perlu menukarnya lagi, cukup sekadar anda membersihkannya sendiri sahaja.


9. ATF (Automatic Transmission Fluid)

Minyak ni memang penting bagi kenderaan jenis AUTO. Dalam buku manual ada dinyatakan setiap 20,000 km perlu ditukar. Tetapi boleh dilanjutkan hingga 30,000 km kepada pengguna yang ingin berjimat.

Jangan abaikan (contohnya tidak tukar lebih dari 30,000 km) kerana kerosakan kepada AUTO gearbox perlukan perbelanjaan yg besar.

Kalau anda rajin tukar, kereta anda tidak perlu Transmission Flush seperti yg disyorkan oleh sesetengah bengkel.


10. Gear Oil

Untuk mereka yg pakai manual gearbox, kereta anda tak perlu pakai ATF tetapi sebaliknya perlu gunakan Gear Oil. Benda ni boleh la tukar 60,000km sekali.


11. Brake Fluid dan Power Steering Fluid 

Kalau rajin boleh flush keluar ganti baru setiap 60,000 km.


12. Radiator Coolant

Harga sebotol adalah RM8-RM15. Selalunya berwarna hijau. Setiap 60,000km bolehlah ditukar sekali.

Jikalau air radiator anda berwarna jernih, maknanya guna air paip biasa sahaja dan tidak berapa bagus. Gunakanlah coolant, enjin lebih cepat panas dan juga tak mudah mendidih!


13. Air-Cond Belt / Alternator Belt

Belt-belt ni perlu ditukar sama waktu dengan timing belt, seandainya kita terlupa menukarkannya sewaktu servis sebelum-sebelum ni.

Belt Air-con dan juga alternator mudah dikenal pasti akan perlunya ditukar atau tidak. Ini kerana belt-belt ni letaknya diluar dan boleh nampak.

Kalau bahagian “ribs”nya dah ada”crack-crack” yang halus. Maka eloklah ditukar belt tersebut. Jangan tunggu masa timing belt nak tukar, baru nak ditukar belt-belt ini.


14. Adalah diingatkan maintenance schedule yang ikut “km” atau masa “3 bulan”, “6 bulan” dan seterusnya ni hanya memudahkan pengguna-pengguna kereta melakukan penyelengaraan.

Maksudnya, benda yang kita tukar tu belum tentu rosak, tapi kita dah tukar. Preventive maintenance ni mampu mengelak dari pengguna kereta menghadapi kerosakan yang kritikal dimasa akan datang!


15. Minyak Hitam

Untuk minyak mineral, perlu ditukar selepas 5000 km ataupun 3 bulan, manakala minyak semi-sintetik utk 10,000km atau 6 bulan, dan minyak sintetik selepas 15-20,000 km atau 1 tahun.

Berhati-hati ketika membeli minyak hitam di kedai spare part kerana terdapat minyak “tidak berkualiti” yang disediakan oleh pengusaha atau mekanik bengkel.

Botol mungkin ada cap jenama Castrol, Shell, Petronas, Eneos dan lain-lain. Tetapi dalam tu sebenarnya adalah minyak murah “made in china”. Dlm satu hari ada beribu-ribu botol minyak hitam kosong wujud di bengkel-bengkel.

Pengusaha bengkel tertentu mengarahkan pekerjanya untuk mengambil botol-botol kosong ini dan refill serta diletakkan seal baru supaya dapat mengaut keuntungan lebih.

Adalah lebih selamat beli minyak di stesen minyak yang pasti tulen. Melainkan kalau betul-betul yakin dengan kedai spare part yang anda kunjungi itu.


16. Minyak Gear

Jika manual, perlu ditukar setiap 40,000km untuk kereta baru (kurang 5 tahun), setiap 20,000km untuk kereta atas 5 tahun atau apabila gear shift rasa ketat.

Paling bagus untuk kereta lama ialah gunakan gearbox treatment. Minyak gear ATF pula perlu ditukar setiap 20,000km. Sama seperti di atas.


17. Flush

Kalau dalam buku tiada dinyatakan, maka tidak perlu ditukar. Begitu juga dengan Air Filter. Coolant perlu tukar tiap-tiap 20,000km. Jika nak tukar tiap-tiap 50,000km pun boleh dengan syarat guna air suling or RO water. Timing belt ditukar setiap 80,000km.

Tapi pernah terjadi stretch sampai 110,000km(Wira 1.6xli) tanpa masalah sebab menggunakan timing belt original Mitsubishi dan ia selalu inspect timing belt keretanya. Tiada merekah, “gigi” masih elok maka tak perlu ditukar.

Aircond belt, altrnator belt, power steering belt – tukar semasa tukar timing belt atau apabila nampak rekahan.


18. Water Pump

Ditukar apabila menukar timing belt untuk kali ke dua. Katakan anda menukar timing belt setiap 80,000km, maka apabila anda menukar timing belt utk kali kedua pada 160,000km, elok ditukar sekali water pump kerana hayatnya pun hampir tiba.

Nak tukar water pump perlu buka timing belt terlebih dahulu. Jadi kalau dibuat pada masa yang sama, tiada caj tambahan dikenakan.

Spark plug ditukar setiap 20,000km. Ataupun selagi plastik di bahagian tengah masih berwarna putih dan tiada kesan terbakar. Jadi kena selalu check spark plug.

Kalau spark plug anda berminyak, ianya bermaksud enjin sudah agak uzur dan perlu dioverhaul kerana piston ring sudah haus. Asap biru dibahagian ekzos juga adalah tanda piston ring haus dan minyak hitam terbakar.

Walau bagaimanapun, ini bukanlah servis biasa tetapi servis major. Head gasket ditukar apabila minyak leaking dikawasan tersebut. Atau sekiranya berlaku coolant loss akibat daripada blown head gasket. Buat grind valve sekali. Kerja penyelenggaraan ini dikenali sebagai top-overhaul.


19. Biasanya top overhaul tidak diperlukan kepada kereta bawah 7 tahun atau 200,000km.

Tetapi ada juga yang mencapai perjalanan dalam 7-80,000km atau kurang 5 tahun sudah kena top overhaul kerana pemilik tidak cermat. Brake pad ditukar bila haus atau bila rasa brake kurang menggigit. Biasanya kereta berusia 3 hingga 4 tahun sekali.

Minyak brake juga pun sama, brake belakang tahan lebih lama dari brake depan biasanya dua kali ganda jangka hayatnya.


20. Pada asalnya, enjin pembakaran dalaman menggunakan camshaft yg di letak di dalam blok enjin.

Secara asasnyanya pertukaran timing belt pada setiap 100,000km mengikut ketetapan pengeluar di Jepun. Tetapi Jepun adalah negara bercuaca sederhana sejuk manakala cuaca di Malaysia lebih panas dan mampu mempercepatkan proses wear and tear timingbelt yang dibuat dari adunan getah, plastik dan fibre glass.

Jadi adalah dinasihatkan pertukarannya dibuat lebih awal iaitu antara 90,000km. Bagi alat ganti timing belt berkualiti rendah, anda perlu menukar lebih awal, dalam sekitar 60,000km jarak perjalanan.


21. Sesetengah pengeluar seperti Alfa Romeo mencadangkan pertukaran timing belt pada jarak hanya 30,000km bagi semua enjin straight 4 twin spark dan juga enjin V6 bagi model sebelum tahun 1999.

Pada tahun 1996 dahulu, ada juga pemilik bengkel memberitahu timing belt boleh tahan sampai 100,000km, tak perlu tukar pada bacaan 30,000km. Kemudian, kereta kena tarik masuk bengkel sebab timing belt putus dan enjin kena overhaul. Bacaan odometer ketika itu = 35,000km. Maka moralnya adalah kita perlu patuhi spesifikasi servis dan penyelenggaraan pengeluar.

Banyak kenderaan zaman sekarang telah menggunakan timing chain sebagai ganti kepada timing belt. Ini termasuk Nissan, Honda dan Toyota .Toyota misalannya menggunakan timing chain bagi semua kenderaan penumpangnya iaitu :

Camry ACV30 – enjin 2AZ-FE 2000cc
Corolla Altis ZZE121 – enjin 1ZZ-FE 1600cc
Vios NZE10 – enjin 1NZ-FE 1500cc


22. Model seperti Honda CRV pada mulanya menggunakan timing belt, tetapi untuk model CRV baru generasi kedua, Honda juga kembali memperkenalkan timing chain melalui enjin i-VTEC.

22 perkara penting kereta




Petua Seharian @ petuaseharian.blogspot.com



05 July 2015

Ganti Penapis Minyak Enjin

Ganti Oil Filter Minyak Hitam Setiap 10,000KM


Penapis Minyak Enjin

Menyelenggarakan kenderaan tidak hanya dengan terus menghantar kenderaan ke bengkel sahaja. Pemilik perlu juga mengetahui beberapa panduan untuk mengelak masalah lain timbul terhadap kenderaan. Panduan ini memberikan beberapa pendedahan kepada pemilik kenderaan dalam memilih jenis dan kualiti penapis minyak (oil filter) yang sesuai ketika menukar minyak enjin (minyak hitam).

Penapis berfungsi menjaga kualiti minyak supaya sentiasa bersih dan ditapis menerusi bahagian didalamnya. Alat berkenaan yang tidak diganti dalam jangka waktu lama boleh mengakibatkan kerosakan enjin dan menyebabkan masaalah sistem kerja komponen enjin.

Sebelum berhadapan dengan masalah yang lebih buruk terhadap kenderaan, pemilik kenderaan disarankan menggantikan penapis minyak setiap 10,000km. Bagaimanapun sebelum menggantikannya anda perlu memerhati beberapa perkara berikut:

1. Gunakan penapis minyak yang asli. Jangan gunakan penapis minyak tiruan kerana dikhuatiri bahagian dalaman mengandungi benda yang boleh merosakkan komponen penapis. Selain itu penapis tiruan atau jenama murah menggunakan kertas bermutu rendah yang tidak tahan lama untuk menapis kotoran.

2. Sebelum memasang penapis minyak, pastikan semua bahagian dalamnya sentiasa bersih dari kotoran terutama permukaan penapis. Perhatikan bahagian atas penapis minyak yang terdapat kertas pelindung. Pastikan bahagian itu sudah dibuka ketika penapis hendak dipasang. Kemudian setelah enjin dihidupkan, perhatikan adakah berlaku kebocoran minyak enjin di sekitar penapis minyak atau tidak.

3. Ketika menggantikan penapis minyak biasanya ia diimbangi dengan minyak yang lebih dari biasa. Perhatikan kereta anda. Jika setiap 1,000km, kereta anda perlu menambah minyak enjin, ia mungkin menandakan ada sesuatu yang tidak normal pada enjin.

Contohnya gegelang piston yang telah haus. Gunakan alat ujian tekanan untuk mengesan kerosakan berkenaan. Berdasarkan maklumat itu, pemilik kenderaan wajar mengambil langkah perlu dan memerhati jenis penapis standard yang dipasang untuk mengelakkan kenderaan dipasang dengan penapis yang rendah mutunya.





Tips Penjagaan Enjin Kereta,Tips Kenderaan

petua seharian @ petuaseharian.blogspot.com

03 May 2015

4 Makanan diet yang wajib anda tahu

Makanan diet yang wajib anda tahu


Adakah anda sedang berdiet? Atau bercadang untuk menurunkan berat badan anda? Jika ya, ini adalah beberapa makanan sihat yang anda perlu tahu untuk mengelakkan kemudaratan kesihatan semasa berdiet. 

Ada segelintir masyarakat terutamanya golongan muda yang salah tafsir maksud ‘diet’ dengan tidak mengambil sebarang makanan khasiat, malah duduk berjam – jam tanpa makan!

Perbuataan itu pasti bukan cara yang baik, malah ia hanya akan mendatangkan keburukan. Dalam menu diet, sayur dan buah-buahan perlu diberi keutamaan. Anda pasti akan mencapai berat badan yang diingini jika ia dilakukan dengan cara makanan yang betul. 


Berikut adalah 4 makanan diet yang sihat untuk badan dan perlu diamalkan dalam menu diet anda. 



Sayuran hijau


Daun salad dan sawi adalah antara sayuran yang sering dipilih sebagai menu diet yang sihat. Memanglah! Lebih banyak warna hijau, lebih bagus untuk tubuh badan kita! Sayuran hijau sebenarnya mengandungi kalori yang relatif sedikit, menjadikan ia sebagai pilihan yang terbaik untuk makanan diet. Bukan itu sahaja, makanan hijau ini juga melancarkan pencernaan. 



Tahu 


Tahukah anda bahawa tahu yang dibuat dari kacang soya ini mengandungi protein yang baik untuk badan anda? Makanan ini juga merupakan pilihan terbaik untuk jantung kita. 



Epal


Buah epal merupakan makanan diet yang digemari ramai. Buah ini mengandung vitamin dan serat yang baik untuk tubuh anda. Bukan itu sahaja, buah epal juga mampu menghilangkan nafsu makan berlebihan. Kalau tidak suka makan buah, jus epal pun cukup bagus, tetapi ingat, minum tanpa gula! 



Bijiran Oat


Bijirin Oat adalah makanan yang sesuai bagi semua peringkat umur. Oat mengandungi kalsium, protein, magnesium, zat besi, zink dan vitamin E yang amat baik untuk tubuh badan anda. Malah, bijirin oat lebih berkhasiat daripada makanan bijirin lain seperti gandum dan rai. Makanan ini pasti menjadi pilihan terbaik untuk sarapan pagi. Lupakan nasi lemak dan mula amalkan pengambilan oat!


Akhir sekali, jangan lupa untuk minum air 8 gelas sehari!






Petua Seharian @ petuaseharian.blogspot.com

01 April 2015

Pemakanan Untuk Pesakit Gout

Pilih makanan kurang kandungan purin

Serangan gout boleh menyebabkan pesakit tidak mampu berjalan kerana rasa sakit yang sukar ditanggung.

GOUT sejenis penyakit yang ditakrifkan sebagai penghasilan asid urik secara berlebihan di dalam badan dan ini berlaku dalam keadaan di mana pengeluarannya bertambah dengan pengambilan secara berlebihan makanan purin (zat semula jadi) berprotein tinggi.

Apabila ini terjadi, pesakit gout akan mengalami bengkak pada bahagian kaki, panas, dan amat sakit hingga ada sesetengahnya tidak boleh berjalan.

Sekiranya pesakit tersebut menghidap gout yang kronik, kehidupan harian yang normal akan terganggu dan perkara yang paling ditakuti ialah berlakunya kecacatan pada sendi dan otot, sama ada ringan atau berat.

Menurut Pegawai Pemakanan, Hospital KPJ Ampang Puteri, Nurul Ain Baharudin, penyakit yang banyak menyerang golongan lelaki ini berpunca daripada pengambilan makanan yang tinggi purin seperti hidupan laut, kekacang, dan daging merah.

Katanya, purin ialah sejenis protein yang membentuk asid urik hasil proses metabolisme dan berpotensi menyebabkan serangan gout.

Tambahnya, kekurangan air dalam badan juga boleh meningkatkan paras asid urik dalam darah, sekali gus menyebabkan keadaan pesakit gout lebih buruk.

“Tidak dinafikan, penyakit ini jika sekali terkena sukar untuk sembuh, tetapi kita boleh mencegah serangannya dengan mengamalkan diet seimbang dan mengelak daripada makanan yang mengundang gout.

“Untuk itu, pesakit perlulah mengelak daripada makan makanan laut seperti kerang, ikan salmon, ikan bilis, udang, dan ketam kerana kandungan purinnya tinggi, serta tidak ketinggalan makanan berasaskan kacang, dan daging merah, seperti daging lembu.

“Selain itu, organ-organ dalaman haiwan seperti hati dan hempedal ayam, perut, otak dan usus lembu, serta daging kambing juga perlu dielak kerana kesemua makanan ini mengandungi purin yang tinggi,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Disebabkan itu juga, setiap pesakit gout disarankan agar sentiasa mengamalkan diet mengikut panduan piramid makanan.

Katanya, minuman keras juga patut dielakkan kerana minuman tersebut boleh meningkatkan paras asid urik dalam badan.

Oleh kerana pengambilan makanan yang tinggi purin penyebab utama gout, dinasihatkan pesakit mendisiplinkan diri dengan memilih makanan yang mengandungi kandungan purin yang sederhana dan seelok-eloknya mengambil makanan bijirin, buah-buahan, sayur-sayuran atau karbohidrat.

Ulasnya, selain mengawal pemakanan dengan tidak mengambil makanan berprotein tinggi secara berlebihan, terdapat ubat-ubatan tertentu yang dapat membantu mengurangkan asid urik dalam badan.

Pesakit juga dinasihatkan minum air yang banyak setiap hari bagi membantu perkumuhan asid urik daripada badan dan mengurangkan risiko mendapat batu karang.

Ringkasnya, pemakanan yang harus dikurangkan atau dielakkan adalah protein yang menghasilkan kandungan purin yang banyak kerana zat tersebut penyumbang terbesar kepada pembentukan asid urik.

Begitu pun, tidak semua makanan yang berprotein ada risiko gout, seperti ikan dan telur ayam, tetapi harus diingatkan bahawa penyakit tersebut menyerang seseorang yang mengambil protein secara berlebihan.

Yang pasti, hari ini, gout boleh menyerang sesiapa saja tanpa mengira umur, bangsa, serta jantina dan ada kes remaja berusia 18 tahun dikesan menghidap penyakit ini.

Pesakit-pesakit gout turut disarankan agar berjumpa dengan pakar pemakanan untuk mendapatkan nasihat yang sewajarnya.




Petua Seharian petuaseharian.blogspot.com

01 March 2015

Tips Jika Anda Makan Gaji

Lapan tips jika anda makan gaji


ADAKAH seronok bila kita mendapat gaji ketika hujung bulan? Mestilah seronok, kerja 20-24 hari sebulan then sehari dapat gaji! Tapi, persoalannya adakah keseronokan itu mampu berpanjangan hingga selepas kita bersara? Jika panjang umur.

Masa saya kerja dulu-dulu pun, seronok bila dapat gaji apatah lagi selepas “kekeringan wang” lebih separuh bulan. Tapi, dapat sahaja gaji yang sehari itu, masuk pagi duit dalam account, bila petang atau paling lewat esoknya, insya-ALLAH dah “game over” bayar hutang. Itu pun ada lagi belum selesai.

Itu tahun 1995-97. Gaji RM1,500. Bekerja di firma stockbroking.


Hari ini saya nak tanya soalan-soalan penting ini:-
• Adakah anda rasa nilai wang anda semakin bagus?
• Adakah anda rasa kuasa membeli duit anda semakin tinggi?
• Adakah anda rasa dengan pendapatan dari gaji semata-mata adalah cukup untuk bersara dengan semakin sihat dan tenang (Jika panjang umur)?


Ramai hari ini seronok kerana masih ada gaji kan. Siapa tidak?

Cuma tidak ramai yang mempunyai pelan kewangan dan pelaburan yang bagus dan teratur untuk mereka lebih bersedia samada untuk bertahan di dalam ekonomi hari ini atau untuk persaraan mereka. Tidak kisahlah anda bekerja atau berniaga. Sebenarnya peluang untuk setiap daripada anda hidup dalam keadaan kewangan yang tertekan adalah tinggi.

Gaji anda sama ada rendah atau sederhana pasti akan terkesan dengan kos sara hidup semakin meningkat. Hutang yang tidak putus-putus dan makin banyak tertunggak.

• Kos sara hidup meningkat.

• Kos membesarkan anak-anak meningkat.

• Harga hartanah/ rumah yang meningkat walaupun rumah kos rendah.

• Kos bahan binaan juga semakin meningkat.

• Kos pendidikan semakin mahal sedangkan tahap gaji kelayakan yang tinggi pun semakin rendah.

• Kos perubatan meningkat.

Dalam banyak-banyak kos di atas, cuba bayangkan satu daripadanya, sebagai contoh kos perubatan yang hari ini sudah meningkat ke tahap yang luar biasa 20-30 tahun lagi. Waktu itu, kita yang hari ini umur dalam lingkungan 30-40an akan berumur di antara 50-70an.

Adakah kos tersebut masih sama dengan hari ini. Jangan sampai tahap, hari ini kita guna kesihatan untuk mengejar kewangan, malangnya kewangan tersebut tak mampu nak beli kembali kesihatan ketika kita di ambang usia suatu hari nanti.

Sebab itu saya tertarik dengan amaran yang tertulis di sebuah billboard di Jakarta yang menyebut: “Jika anda tidak ada duit, anda perlu pastikan anda tidak sakit.”

88% pekerja bimbang tak cukup duit bila bersara.

Jangan fikir pasal orang lain. Lihat dalam-dalam ke dalam diri kita hari ini. Adakah kita juga tergolong di kalangan 88 peratus tersebut? Masalah itu tidak akan selesai sehingga kita belajar dan bertindak mencari jalan selesaikannya.

Apa “jalan” yang ada? Kerana jika teruskan meminjam bukanlah pilihan yang terbaik, jangka pendek, OK tetapi lama-kelamaan beban hutang kita akan sesak ke kepala.

Sebagai respon pada berita semalam, ada 8 cadangan yang saya ingin berikan:-

1. Jika anda bekerja, tambah baik diri supaya dinaikkan gaji. Sama ada sambung belajar secara part-time sambil bekerja. Faktor kelulusan banyak mempengaruhi gaji seseorang di banyak syarikat atau sektor kerajaan.

2. Tukar kerja yang lebih tinggi gajinya, cuma masalah ini hanya berbentuk strategi jangka pendek atau tambah baik ilmu atau kemahiran diri untuk melayakkan diri mendapatkan gaji yang lebih tinggi.

3. Berniaga atau membuat pelaburan sama ada secara sepenuh masa atau sampingan. Cuma jangan mula dengan modal yang besar serta mestilah sedia untuk belajar ilmu berniaga dan melabur sama ada melalui membaca buku yang bagus atau hadir seminar yang terbukti melahirkan ramai yang berjaya.

4. Yang paling penting adalah belajar uruskan duit kerana duit sikit boleh jadi banyak jika diurus dengan baik. Begitu juga sebaliknya, banyak boleh jadi sedikit atau habis jika tidak pandai uruskan.

5. Tahan nafsu. Stop belanja makan di luar. Kurangkan window shopping. Kurangkan ke tempat yang mampu “menggalakkan” kita berbelanja mengikut “nafsu”. Kurangkan kos, kurangkan kos dan kurangkan kos.

6. Simpan duit, simpan duit dan simpan duit. Ini nasihat yang paling asas sebelum anda ada ilmu “memberanakkan” duit. Walaupun belum tahu berniaga atau melabur, anda mesti simpan sedikit duit secara berdisiplin. Set sasaran atau target berapa anda mesti simpan setiap bulan dan duit itu TIDAK BOLEH digunakan langsung melainkan bila ada ilmu pelaburan.

7. Jangan sertai skim cepat kaya atau meminjam untuk masuk skim cepat kaya. Berhati-hati dengan pelbagai skim yang boleh “menghilangkan” duit anda apatah lagi jika ianya di senarai hitam oleh Bank Negara.

8. Sedekah sedikit. Sebab sedekah telah terbukti memberikan keberkatan kepada rezeki kita. Cuba mulakan dengan jumlah yang paling kecil yang kita mampu dan lakukan secara konsisten. Anda akan merasai keberkatannya nanti.

Semua orang ingin ubah hidup tetapi ramai orang tidak mahu ubah sikap serta belajar.

Sudah masanya untuk anda berfikir tentang masa depan dan bagaimana mengatur serta meningkatkan kewangan anda secara serius.





Petua Seharian petuaseharian.blogspot.com

01 February 2015

Cara Berdamai

Berdamai, bagaimana caranya?


Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Ingat tak lirik lagu siapa ni? Sapa yang tak ingat akan lagu nyanyian Allahyarham Tan Sri P.Ramlee ni kan? Ayat ini sering dikaitkan dengan kehidupan alam rumahtangga .

Biasalah kan..dalam hubungan suami isteri pergeseran, pergaduhan atau pertengkaran sering berlaku. Setelah bergaduh mestilah nak berdamai. Kalau boleh semua pasangan mahu supaya pergaduhan itu adalah yang terakhir. mereka ingin perdamaian yang kekal. Tapi biasanya apa yang berlaku ialah disebaliknya. Perdamaian hanyalah bersifat sementara. Hari ni berdamai, esok lusa gaduh lagi.

Bengang tak?

Jadi disini, ada sedikit tips atau teknik terbaik untuk berdamai. Cubalah realisasikannya. Pasti bab masam-masam muka, merajuk untuk beberapa hari dapat dikurangkan. Nak lenyap tak boleh pulak nanti takde masam manis, pahit masin pulak..hehe.   - petuaseharian.blogspot.com


1. Jangan merajuk

Ramai isteri menggunakan strategi merajuk untuk menang dan paksa suami mengalah. Silap sikit je..merajuk, salah sikit merajuk. Bila merajuk tu jangan ler berlebihan..sebenarnya merajuk ni tak dapat menyelesaikan masalah, malah akan memburukkan lagi keadaan.

Walaupun merajuk dapat mendorong suami mengalah untuk berdamai tetapi strategi sebegini tidak membawa kedamaian kekal. Malah perbuatan merajuk ini sangat merbahaya. Sebabnya..ia akan menyukarkan usaha untuk berdamai semula. semakin kuat isteri merajuk suami akan terus buat derk je..sebab orang lelaki kan ada ego dia, dia tahu dia sedang dihukum oleh isterinya dengan cara merajuk. Jadi dia rasa terhukum dan apabila rasa macam tu lagi ler dia tak nak berdamai. Di pihak isteri pula tidak mahu berdamai selagi dia belum menang. Hehehe ada ke isteri dan suami yang macam tu? Hmm tentu ramai yang macam tu. pantang silap sikit, buat muka, suami pujuk, tak endah beberapa kali pujuk masih tak nak berdamai suami akan terus buat derk.baru padan muka. Hehehehehehe.

2. Jangan menghukum

Pergaduhan, pertengkaran dan konflik antara suami isteri akan meninggalkan kesan buruk kepada hati dan perasaan kedua belah pihak. Bila dah bergaduh tu, masing-masing cenderung mahu menghukum satu sama lain. Sebab apa? Kerana hendak memuaskan hati yang sakit atas kata-kata berbisa dan perbuatan salah suami atau isteri.

Lelaki dan wanita ni, dia ada cara tersendiri apabila menghukum pasangan. Lelaki cenderung untuk menarik diri di mana mereka tidak mahu lagi bercakap-cakap dengan isteri, melainkan terpaksa. (Jual mahal lah tu )

Wanita pula cenderung untuk merajuk, menekan, menarik muka masam, menyindir, tidak mahu senyum dan tidak mahu melayan suami. Hukuman sebegini tidak mungkin akan menyelesaikan sebarang masalah.

Hukuman tidak akan menolong proses berdamai. Malah ianya hanya mempercepatkan proses kerosakan hubungan. Walau apa bentuk hukuman sekalipun, samada kecil atau besar, hukuman itu hanyalah menyukarkan proses untuk berdamai.

Jadi, kalau benar masih ada niat nak berdamai, jangan menghukum.

3. Jangan berdusta

Jika pasangan kita, tak kiralah suami isteri, kawan rapat atau tunang kita yang telah menunjukkan sikap mahu berdamai dan kita pun nak berdamai juga, jangan berdusta.

Jangan pura-pura jual mahal atau tarik harga. Jangan berpura-pura tidak sudi atau benci. Tinggi risikonya. Dia mungkin menyangka kita betul-betul tak sudi dan tak mahu berdamai. Akibatnya dia mungkin terdorong bersedia untuk melupakan usaha nak berdamai.

4. Jangan mencari salah

Kalau nak berdamai, hentikan tabiat suka mencari silap orang. Mencari kesalahan ini termasuklah perbuatan mencari kelemahan-kelemahan dan kekurangan diri orang itu dan menuduhnya salah atau silap. Ia juga termasuk perbuatan berleter, menegur, mengkritik dan menasihati orang itu. Cari salah atau silap orang lain tak mungkin bawa penyelesaian. Hah suami isteri lagi ler tak boleh amalkan sikap sebegini.

5. Berhentikan bahasa negatif

Ada dua jenis bahasa negatif yang biasa digunakan apabila bergaduh iaitu bahasa tuduhan dan bahasa celaan. Jika nak berdamai, jangan gunakan bahasa negatif seperti dibawah ini:_

~ Ini semua kerana sikap awak yang tak betul tu. ( tuduhan )

~ Kenapa awak tak mahu dengar nasihat saya ? ( tuduhan )

~ Awak langsung tak guna. ( celaan )

~ Abang ni, sekolah saja tinggi, tapi otak bodoh juga . ( celaan )

Jika nak berdamai, tukar bahasa negatif kepada bahasa positif sebab bahasa positif sangat baik kesannya kepada hubungan cinta suami isteri. Contoh bahasa positif ialah bahasa pengiktirafan, penghargaan, pujian dan sanjungan. Gunakan bahasa ini dengan murah dan lumayan.

6. Bercakaplah tentang hari ini dan esok

Bila dah berdamai tu, jangan buka cerita lama. jangan pandang ke belakang ( JANGAN PANDANG BELAKANG seram..serammmmmm ) dan jangan mengungkit perkara2 yang menyebabkan konflik itu. Jadikan setiap pergaduhan itu sebagai pengalaman dan pengajaran untuk kita tidak mengulangi perkara yang sama.

7. Senyum semula

Di dalam sebuah kajian, antara perkara yang banyak disebut oleh lelaki terhadap bekas-bekas isteri mereka ialah bahawa isteri mereka tidak senyum lagi. Jadi, senyumlah, walaupun susah, kerana senyuman adalah cara yang mujarab untuk berdamai semula.

Diharap tips ini dapat digunapakai dan diamalkan.



Petuaseharian.blogsapot.com

03 January 2015

Tip Urus Rumahtangga Untuk Wanita Bekerjaya

Cara Urus Rumahtangga Untuk Wanita Bekerjaya

Begitu banyak persoalan yang diiutarakan oleh para wanita yang bekerja di luar rumah, seperti bagaimana hendak mengatur waktu antara tuntutan kerja dan tanggungjawab mengurus rumah tangga agar dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Dalam mengatasi pertembungan konflik tugas, tidak dinafikan ramai juga wanita hari ini mampu menikmati ‘peranan berganda’ itu dengan jayanya. Namun, ada juga yang merasa sukar hingga akhirnya timbul persoalan-persoalan rumit yang semakin berkembang dalam kehidupan sehari-hari. Justeru kaum hawa hari ini perlu bijak menjalankan tanggungjawab kerana status sebagai isteri dan ibu tidak memungkinkan anda mengelak daripada melakukan tugas di rumah. Ikuti tip berguna untuk membantu anda melakukan tanggungjawab urus rumah tangga dengan lebih mudah dan efektif.

Mengemas Rumah


Ikut arah jam

Sekiranya anda ingin mulakan mengemas di sesuatu kawasan, pastikan anda mengemas mengikut arah jam. Sebaiknya anda mula mengemas di bahagian dapur dahulu kemudian barulah di ruangan lain. Tetapkan titik permulaan dan ikutlah arah putaran jam. Cara ini akan lebih sistematik dan mempercepatkan proses anda untuk mengemas rumah.

Dari atas ke bawah

Untuk mempercepatkan lagi proses anda mengemas rumah, anda dinasihatkan untuk bermula mengemas dari bahagian atas kemudian ke bawah. Ini untuk mengelakkan anda membuat kerja yang sama berulang kali. Bayangkan sekiranya anda bermula mengemas dari bahagian bawah, apabila tiba masa untuk mengemas bahagian atas pasti kotoran yang anda kemas tadi akan terjatuh. Ini akan menambahkan lagi kerja anda.

Kurang bergerak

Contoh paling jelas untuk mengurangkan gerakan ialah ketika mencuci pinggan. Ada baiknya letakkan rak untuk menggeringkan pinggan mangkuk yang telah dicuci berdekatan dengan singki. Atau jika ruang dapur berkeluasan terhad, anda perlu mencuci pinggan mangkuk dan sediakan satu bekas untuk mudah anda mengumpulkan pinggan tersebut. Apabila bekas sudah penuh barulah anda mengangkat bekas tersebut dan sekali gus mengurus pinggan mangkuk untuk disimpan di dalam kabinet.

Gunakan bantuan mesin

Masa kini begitu banyak mesin atau gajet yang ada ditawarkan di pasaran. Seharusnya penggunaan mesin atau gajet dalam tugas membersihkan rumah harus digunakan sepenuhnya untuk membantu meringankan dan mempercepatkan tugasan di rumah. Contohnya penggunaan penyedut hampagas, penggunaannya lebih mudah untuk membersihkan habuk berbanding jika anda menggunakan cara tradisi menggunakan penyapu.



Memasak

Beli perencah segera

Memasak dengan menggunakan sediaan perencah dapat memudahkan anda memasak dan menjimatkan masa. Kini, terdapat begitu banyak bahan perencah ditawarkan di pasaran seperti perencah nasi goreng, perencah ayam masak merah dan banyak lagi hinggalah perencah rendang sekali pun. Semua tersedia untuk anda memilih dan nikmatinya.

Sediaan bahan resipi lebih awal

Jika ingin menggunakan ramuan sendiri, ia juga tidak menghalang untuk anda memasak dengan cepat dan mudah. Cuma persediaan bahan perlulah dilakukan lebih awal dan bukannya ketika ingin memasak. Contohnya, menyediakan hirisan bawang atau ramuan di malam hari dan disimpan di dalam peti sejuk. Apabila hendak memasak di pagi harinya, anda boleh terus menggunakan bahan tersebut.

‘Slow Cooker’- satu pelaburan yang bermanfaat

Ramai wanita hari ini memasak menggunakan ‘slow cooker’ dan menjadikannya satu alat memasak yang penting dan utama. Anda hanya perlukan 10-15 minit di waktu pagi untuk memasukkan bahan-bahan di dalam ‘slow cooker’ anda, hidupkan dan biarkan sahaja seharian untuk dimasak. Pulang ke rumah, makanan yang panas telah tersedia.



PRAKTIS 5S DI RUMAH

1. SEIRI – SISIH

Cuba lihat di sekeliling rumah yang penuh dengan pelbagai barangan. Asingkan yang mana masih boleh digunakan dan yang rosak buangkan sahaja.

2. SEITON – SUSUN

Susun perabot dan aksesori yang ada secara kemas dan teratur. Kaedah ini juga akan dapat mengelakkan rumah kelihatan semak dan sesak.

3. SEISO – SAPU

Lakukan pembersihan atau menyapu lantai setiap hari. Jangan tunggu hujung minggu untuk melakukannya.

4. SEIKETSU – SERAGAM

Walaupun ruang kediaman asalnya berkeadaan bersih dan kemas, ia pasti akan menjadi berselerak apabila digunakan. Oleh itu, anda perlu mengulangi seiri, seiton dan seiso untuk memastikan keadaan kediaman sentiasa bersih dan kemas.

5. SHITSUKE – SENTIASA AMAL

Amalkan sistem 5S secara berterusan hingga menjadi budaya di dalam rumah. Untuk itu anda perlu mendisiplinkan ahli keluarga yang lain.



By: Pesona Pengantin


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Macam-macam ada :