Tips Hias Bilik Sempit
Tentukan konsep sebelum hias bilik tidur, elak serabut
untuk tidur lena
Menghias kediaman bukan bererti hanya ruang tamu menjadi keutamaan. Ruang
peribadi seperti bilik tidur juga perlu diberikan perhatian lebih-lebih lagi
sepertiga daripada hidup seseorang itu dihabiskan di kamar peraduan.
Selain menjadi tempat tidur, bilik tidur juga adalah ruang
rehat peribadi. Malah, bilik tidur adalah tempat paling selamat dan ruang
rahsia seseorang. Malah, ada yang menyatakan untuk mengenal karektor seseorang
lihat saja dekorasi bilik tidurnya.
Justeru, menghias bilik tidur perlu dimasukkan dalam jadual
menghias kediaman dan apabila bercakap mengenai dekorasi bilik ini, ada
beberapa persoalan perlu diambil kira.
Perunding pereka dalaman, Alam Anuar menyatakan aspek utama yang perlu
diberikan perhatian sebelum menghias bilik tidur adalah menentukan tema atau
konsep yang mahu dibentuk.
“Selepas tema atau konsep dibuat maka mudah kerja menentukan perabot, aksesori
dan kemasan yang bakal dilaksanakan,” katanya.
Menjelas lanjut, katanya selepas itu, ruang dan saiz bilik perlu diambil kira
supaya bilik tidur dapat dihias dengan praktikal. Aspek praktikal perlu di
ambil kira supaya fungsinya sebagai ruang tidur dan rehat tidak disalah tafsir
melalui cara menghias.
“Tidak dinafikan ada yang percaya pada feng shui dan pantang larang tradisi
mengenai susun atur perabot dan menghias bilik. Namun, saya percaya kepada
kuasa praktikal kerana ia lebih berfungsi untuk bilik yang dihias,” katanya.
Menghias bilik tidur juga perlu mengambil kira warna atau cat. Sebaiknya, ia
perlu mengikut tema dan karektor pemilik bilik bukannya berdasarkan aliran
semasa.
“Jika mengikut tema Inggeris klasik, warna-warna pastel dengan rona putih dan
krim menjadi keutamaan. Namun, ia bergantung kepada karektor seseorang sama ada
profesional, masih belajar atau golongan lebih berusia,” katanya.
Mengenai warna, menurutnya tidak salah menggunakan warna garang seperti merah,
kuning atau jingga, namun lihat kepada tona. Merah biasanya dikaitkan dengan
keghairahan dan romantik manakala hijau dikaitkan dengan ketenangan.
Untuk bilik tidur gaya oriental
mahupun nusantara, warna-warna lembut banyak digunakan. Manakala aksesori dan
perabotnya berwarna gelap dan sedikit pudar. Biasanya perabot kayu gabungan
yang baik untuk tema oriental, nusantara atau Aseania ini.
Semuanya bergantung kepada selera dan jangan terikat sangat kepada ‘trend’
semasa.
“Tidak salah mengikut ‘trend, namun ia sentiasa berubah. Jika soal wang bukan
alasan tidak salah mengikut aliran semasa. Jika mahu berjimat, lebih baik
mengikut selera sendiri dan kemampuan diri,” katanya.
Dalam menentukan warna, selain karektor, jantina pemilik bilik juga perlu
diambil kira begitu juga ruang sama ada bilik itu sempit, luas atau sederhana.
Perlu diingat untuk warna bilik tidur ‘si teruna’ tidak semestinya hanya biru
yang sesuai begitu juga merah jambu untuk ‘si dara’. Gunakan kreativiti dan
jangan terikat saja kepada aspek maskulin atau feminin dalam menentukan warna
bilik tidur, aspek keseimbangan dan selera pemilik bilik juga perlu diambil
kira.
Selepas warna ditentukan, susun atur bilik perlulah diberikan perhatian. Jika
bilik sempit elakkan gunakan perabot yang terlalu banyak memadai menggunakan
perabot asas iaitu katil, almari pakaian dan meja solek.
Jika ruang lebih luas, tidak bermakna semua perabot perlu dibawa masuk kerana
dikhuatiri menyebabkan bilik nampak penuh dan berserabut. Namun, tidak bermakna
bilik luas perlu dihias dengan tatahias ringkas kerana ia nampak tidak
praktikal dan terlalu kosong.
“Seimbangkan ruang dengan perabot supaya soal praktikal tadi tidak diabaikan,” kata
Alam.
Untuk bilik luas, tidak salah masukkan kerusi mahu pun sofa atau pun set audio
visual. Namun, fungsi bilik tidur sebagai ruang tidur atau rehat perlu diambil
kira.
“Jika dirasakan set audio visual boleh mengganggu aktiviti tidur atau rehat, maka
lupakan saja hasrat membawanya masuk dan jadikan hiasan bilik. Ada juga percaya
membawa set berkenaan boleh mengganggu waktu rehat dan romantik bagi bilik
pasangan suami isteri,” katanya.
Mengenai konsep bilik tidur, katanya gaya Inggeris biasanya menggunakan warna
pastel manakala hiasannya lebih terperinci seperti meletakkan ‘cornish’ pada
siling dan dinding. Begitu juga penggunaan ‘skirting’ atau kambi dan lantai
dengan kemasan jubin dan granit manakala katil dihias dengan cadar yang nampak
mewah, lembut dan gebu termasuk penggunaan baldu serta satin mewah.
Bagi konsep kedesaan Inggeris, warna biru, kelabu dan coklat lembut sesuai
untuk dinding, manakala aksesori biasanya mempunyai ciri kedesaan seperti
bunga-bungaan dan haiwan.
Konsep oriental mahupun Aseania dan Nusantara, fabrik untuk bilik mengikut ciri
budaya dan tradisi si pemilik bilik tidur, tidak ketinggalan penggunaan sutera
dan kain bercorak atau batik manakala perabot kayu jadi pilihan sesuai. Warna
alam termasuk kuning lembut, merah lembut, hijau dan coklat sangat sesuai untuk
konsep ini.
Hias bilik sempit
Sesetengah orang tidak bijak menggunakan aksesori untuk bilik tidur kerana
bimbang bilik berserabut atau nampak bersepah. Namun, jika pandai suai padan dan
menyusun atur dengan betul, tidak timbul soal bilik tidur menjadi berserabut. - petuaseharian.bligspot.com
Berikut adalah tips menyusun atur bilik tidur yang kecil nampak lebih luassss.
1. Gunakan warna pastel
Kebanyakan rumah mempunyai warna asal dinding iaitu warna putih. Walaupun putih
membantu memberikan ilusi ruang nampak luas dan besar, tetapi ia masih nampak
bosan dan tidak menarik. Justeru, apa salah gunakan warna pastel atau warna
yang lembut, cair dan pucat. Salah satu cara gabungkan warna putih dengan warna
segar seperti hijau.
2. Perabot dan Tempat Penyimpan
Ada yang beranggapan bilik yang kecil memerlukan perabot kecil juga bagi
memberi ilusi supaya bilik tidur nampak besar. Sebenarnya tidak, jika perabot
kecil akan menampakkan lagi bilik itu bertambah sesak. Lebih baik mempunyai
perabot yang penting saja seperti katil, almari pakaian, meja solek berserta
kerusi dan meja sisi dengan lampu meja. Itu sudah memadai. Sebaiknya gunakan
perabot jenis ‘multipurpose’ atau pelbagai guna dan fungsi. Contohnya, katil
yang bawahnya mempunyai tempat penyimpanan pasang siap atau meja solek yang
boleh dijadikan meja kerja dan almari pakaian dengan pelbagai ruang penyimpanan
serba guna.
Untuk ruang sempit, letakkan katil rapat dengan dinding bagi menambahkan
keluasan pada ruang lantai. Gunakan kotak penyimpanan barang kemas atau
aksesori di meja solek sebagai tempat meletakkan lampu meja. Hadkan penggunaan
meja tepi katil kepada satu berbanding dua manakala di sudut kosong diletakkan
lampu lantai.
3. Cermin
Cermin adalah satu medium yang memberikan ilusi keluasan pada ruang. Boleh
dipasang di sebelah dinding katil, atau gunakan cermin berkaki atau membeli
almari pakaian yang tersedia cermin di daun pintunya. Cermin di meja solek juga
membantu.
4. Percahayaan
Gunakan secara maksimum cahaya semula jadi melalui tingkap bilik tidur anda.
Elakkan perabot yang menghalang terus cahaya berkenaan. Gunakan blinds atau
sheer berbanding langsir jika bilik tidur kurang cahaya matahari masuk.
Jika cahaya lampu siling tidak menerangi secukupnya bilik tidur. Tambahkan
lampu meja dan lampu lantai. Gunakan teknik pantulan cahaya dengan lampu lantai
menerangi siling bilik kesannya pasti lebih menarik.
5. Aksesori Dekorasi
Aksesori dekorasi jenis kemasan cermin atau ‘stainless steel’ membantu
memberikan ruang nampak eksklusif dan luas kesan pantulan dan sinaran barang
berkenaan.
Selain itu, satu gambar lukisan bersaiz besar yang diletakkan di dinding kepala
katil boleh menampakkan dinding itu nampak besar.
INFO
- Anda perlu ketahui bahawa setiap bilik perlukan titik tumpu begitu juga bilik tidur. Untuk bilik tidur katil adalah titik tumpu. Untuk bilik yang luas letakkan katil di tengah-tengah
- Letakkan katil supaya ia tidak menghalang pintu masuk, almari atau bilik mandi.
- Pilih perabot yang sesuai dari segi saiz untuk bilik. Contohnya, seorang remaja tidak perlu katil seperti dua orang dewasa tidur. Pilih katil bujang daripada katil saiz besar atau ‘king size’
- Tidak perlu meletakkan meja sisi kiri kanan katil seperti kebiasaan. Letakkan satu saja meja sisi dan sebelah lagi letakkan lampu lantai.
- Jika ruang bilik anda tidak bersegi empat sama sisi atau mempunyai dinding yang panjang, gunakan almari pakaian pasang siap ‘built-in’ tinggi hingga siling bilik. Ini memberikan lebih ruang penyimpanan.
- Buang
perabot atau aksesori dekorasi yang tidak membantu anda mendapatkan ruang
yang nampak kemas, luas dan teratur.
Petua Seharian@ petuaseharian.blogspot.com