13 Tip Bantu Bayi Belajar Berjalan
Berjalan sangat penting untuk perkembangan dalam kehidupan anak anda. Ia adalah petanda anak akan meninggalkan dunia bayinya. Kebanyakannya bayi pada usia 8 bulan akan mula merangkak, bergolek dan secara beransur akan mendapatkan kekuatan otot dan koordinasi badan untuk memudahkan ia berjalan. Selalunya anak kecil akan melakukan langkah pertama pada usia antara 9 dan 12 bulan. Kemudian akan mula berjalan dengan baik pada usia 14 atau 15 bulan.
Anak kecil belajar bagaimana untuk berjalan sebelum mereka belajar mendengar. Jadi, jangan memaksa bayi untuk memahami apa yang anda ingin ajarkan kepadanya kerana mereka masih belum mengerti apa-apa lagi. Apa yang anda perlu lakukan ialah bersabar dan pilih beberapa cara untuk mengajar mereka berjalan.
Berikut adalah tip yang boleh digunakan untuk membantu si kecil meningkatkan kemahiran berjalannya.
1. Pastikan persekitaran rumah selamat untuk mengelakkan anak daripada mendapat kecederaan ketika belajar berjalan.
2. Setelah anak anda belajar merangkak, bantu dia untuk terus melangkah dan pegang tangannya sehingga dia mampu untuk berdiri dengan betul tanpa jatuh.
3. Walaupun si kecil mula berdiri sendiri, dia tetap memerlukan bantuan anda untuk kembali duduk. Mungkin dia akan menangis. Jangan hanya memujuk untuk meredakan tangisannya tetapi ajarlah dia cara yang betul untuk duduk. Ajarlah dia bagaimana untuk membengkokkan lutut supaya dia boleh duduk tanpa jatuh. Berilah dia masa untuk mencuba sendiri.
4. Pastikan ada perabot untuk dia pegang supaya dapat bergerak sendiri dengan mudah.
5. Pegang tangannya kerana dia belajar untuk mengimbangi dirinya. Anda boleh menggalakkan bayi berjalan sambil memegang kedua tangannya. Anda boleh memegang tangannya sama ada anda berdiri atau melutut di hadapannya dan kemudian biarkan dia berjalan ke arah anda seterusnya lepaskan dia berjalan tanpa bantuan lagi.
6. Sentiasa ada dekat dengannya. Dia mungkin akan berjalan satu atau dua langkah sebelum mencari sokongan. Selepas mencuba, dia akan lebih yakin untuk berjalan lagi untuk langkah demi langkah. Sebelum anak anda tahu berjalan dengan sempurna, anda pastinya akan ‘menangkap’ dia beberapa kali untuk mengelakkan dia terjatuh.
7. Apabila mengajar anak untuk berjalan, jangan menggunakan walker. Ia boleh mengundang risiko bahaya yang boleh menyebabkan kemalangan dan kecederaan.
8. Elakkan membeli kasut sehinggalah anak anda boleh berjalan. Biarkan dia belajar berjalan di permukaan kasar, sejuk, berpasir atau berumput. Galakkan anak berjalan berkaki ayam kerana ini membantu mereka memperbaiki keseimbangan dan penyelarasan. Pastikan kakinya dibasuh segera untuk mengelak sebarang jangkitan kuman.
9. Salah satu perkara yang paling penting yang anda boleh lakukan untuk mengajar anak berjalan ialah menggalakkan dia untuk mendapatkan banyak senaman. Bantu dia untuk meningkatkan koordinasi badan dengan bermain permainan fizikal dan permainan kanak-kanak yang menggalakkan ketangkasan.
10. Permainan jenis tolak dan tarik sangat baik untuk mengajar bayi anda berjalan. Anda juga boleh bermain dengan menendang dan membaling bola. Aktiviti-aktiviti ini sedikit sebanyak akan menggalakkan koordinasi mata tangan dan keseimbangan badan.
11. Bagaimanapun, jangan memaksa anak anda untuk berjalan terlalu awal jika dia tidak menunjukkan tanda-tanda boleh berjalan lagi. Ini kerana kakinya masih belum bersedia untuk menyokong badannya. Jangan bimbang, dia akan berjalan dalam tempoh masa terdekat.
12. Cuba ajak si kecil untuk berjalan bersama tetapi pastikan anda tidak bergerak terlalu laju supaya dia tidak mudah jatuh. Mulakan dengan berjalan di hadapan rumah anda, atau laman rumah.
13. Jangan sekali-kali tinggalkan anak kecil sendirian. Dia mungkin akanter jatuh atau memerlukan bantuan anda.