07 September 2014

Tips Rumahtangga Untuk Bakal Isteri

Jadilah Isteri Pengikat Hati Suami

Bagi anda yang bakal melangkah ke alam perkahwinan, pastinya debaran kian terasa. Walaupun sudah lama bercinta, namun alam rumahtangga yang bakal tiba dan berkongsi hidup bersama sangat berbeza. Kerana dari situlah anda mengenali buruk baik pasangan yang belum anda ketahui semasa alam percintaan. Namun, masih belum terlambat untuk jadi yang terbaik untuk suami anda. Usah lemahkan keyakinan dengan kekurangan anda, akan tetapi cuba ubah dan jadi yang terbaik untuk bakal suami yang tercinta. Berikut merupakan ciri-ciri wanita dalam menambat hati sang suami sekaligus mengikat hati suami anda sehingga ke syurga. - petuaseharian.blogspot.com

Penyabar
Tidak semua wanita dilahirkan mempunyai sikap yang sabar kerana wanita seringkali lebih emosional dalam tindakan dan bersikap terburu-buru. Cubalah pupuk sikap sabar dalam diri anda supaya bakal suami anda lebih menghormati anda. Sekiranya sebelum ini anda bersikap kuat cemburu dalam perhubungan, cuba pujuk diri anda supaya lebih positif dan bertoleransi dengan baik sekiranya ada permasalahan yang timbul. Pastinya rumahtangga anda mekar bahagia sekiranya anda positif dan sabar dalam setiap hal yang timbul.

Keibuan
Sikap keibuan sangat penting dalam diri seorang wanita. Ini kerana dalam rumahtangga, anda bakal mempunyai anak dan bertanggungjawab mendidik anak-anak tersebut menjadi seorang yang berjaya dan berguna. Jadilah wanita yang lemah lembut dan bersikap keibuan untuk memikat hati suami anda. Wanita yang bersikap keibuan kelihatan lebih tenang dan juga mampu mendamaikan hati suami yang memandang setiap kali penat pulang bekerja.

Manja
Lelaki umumnya sangat menyukai wanita yang manja. Tidak salah anda manja dengan suami sendiri tapi jangan terlalu manja dan mengada-ngada kerana sikap seperti ini boleh membuatkan bakal suamimu bosan dan jemu dengan sikap anda. Sikap manja berlaku dalam situasi yang bersesuaian dan bukanlah dibuat-buat di hadapan orang. Jadilah wanita yang bijak dalam menambat hati si dia. Sekali sekala jadi isteri yang manja dan nakal pastinya menyerikan lagi rumahtangga yang dibina.

Memahami
Walaupun anda teman wanitanya, tidak bermakna anda memahami segala kehendak hatinya. Sekiranya anda sedang dilamun cinta, jadilah pasangan yang sentiasa memahami situasi pasangan anda tidak kira dari segi kewangan, keluarga, persahabatan, permasalahan atau saat dia bersenang lenang. Sekiranya si dia sedag menghadapi masalah cuba cari jalan penyelesaiannya bersama dan usah pentingkan diri dengan melarikan diri dari masalah tersebut.

Terima seadanya
Setiap orang mempunyai citarasa yang berbeza dalam memilih pasangan hidup. Sekiranya anda benar-benar menyayanginya, terimalah si dia seadanya sama ada kacak, cantik, buruk, atau sebagainya. Jangan disebabkan dia tidak kaya atau mempunyai kedudukan ekonomi yang tidak stabil membuatkan anda meninggalkannya.

Hargai pasangan
Hargailah pasangan anda tatkala dia bersama anda. Jangan sesekali leka dengan telefon bimbit setiap kali anda keluar bersama. Tumpukan perhatian anda pada si dia dan lupakan masalah pejabat yang timbul untuk sementara. Setiap kali berjumpa, pujilah pasangan anda dengan perkataan-perkataan indah dan manis supaya dia merasa lebih dihargai dan disayangi.

Jaga penampilan
Penampilan yang selekeh dan tidak terurus semestinya tidak disukai oleh mana-mana lelaki. Wanita terkenal dengan sikap pembersih, menjaga kecantikan dan penampilan. Sikap inilah yang menambat hati lelaki. Sekiranya anda sentiasa menjaga penampilan, pasti si dia tidak teragak-agak untuk melayari alam rumahtangga bersama anda kerana anda pasti menjaga rumahtangga dan kebajikannya dengan baik dan teratur.

Tidak berkira
Sikap senang bertoleransi dan tidak berkira akan lebih memikat hati lelaki. Anda perlu memahami tahap kewangan si dia dan tidak terlalu mendesak dengan meminta-minta sesuatu yang tidak mampu diberikannya. Seandainya si dia amat memerlukan bantuan kewangan anda, bantulah dia seadanya dan ingat! Jangan terlalu memberi sehingga anda habis segalanya sebelum sah bergelar miliknya.



Petua seharian petuaseharian.blogspot.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...